Forest City bagus untuk Johor, Sultan Ibrahim balas Tun M
BANGI, 17 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Sultan Johor, Tuanku Ibrahim Ibni Sultan Iskandar menyatakan projek pembangunan di Forest City di negeri itu membawa pulangan yang bagus kepada rakyat.
Kata baginda, apabila siap nanti, Forest City akan mempunyai empat pulau buatan yang dibangunkan oleh syarikat Country Garden Pacific View.
“Ia bukan untuk pelabur China sahaja, tapi juga untuk sesiapa di dunia termasuk anak Johor.
“Projek ini akan menambahkan saiz tanah Johor dan kedaulatannya,” kata Sultan Ibrahim kepada The Star.
Katanya, sebanyak 200,000 peluang pekerjaan akan wujud dan ini memberikan keuntungan besar kepada kerajaan negeri melalui kutipan cukai.
Pada 6 Januari lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis di blog bahawa tanah di Johor Bahru telah dijual kepada orang luar tanpa sekatan.
Tun Dr Mahathir memberikan contoh projek Forest City yang dibangunkan oleh syarikat dari tanah besar China, dan beribu-ribu unit rumah telah siap dijual kepada pelabur China.
Beliau turut memetik laporan Bloomberg bahawa 700,000 rakyat China akan menetap di sana.
Membalas kenyataan itu, Sultan Ibrahim berkata, Tun Dr Mahathir hanya mencipta ketakutan dan mempergunakan isu perkauman untuk mencapai matlamat politik.
“Cukup-cukuplah. Lama saya tahan diri daripada ulas kontroversi yang dibangkitkan Dr Mahathir dan penyokongnya.
“Tapi Dr Mahathir dah pergi jauh memutar belit isu ini.
“Dia gambarkan Johor serah tanah kepada orang China, serah kedaulatan, macam kita serah Singapura kepada British.
“Forest City dibuat atas tanah yang ditambak dan kebanyakannya adalah kondominium. Bahasa mudahnya ia atas angin. Unit strata.
“Kita tanya Dr Mahathir, kalau orang asing beli unit itu, adakah dia boleh bawa balik setiap inci tanah itu?
“Cuba tengok berapa ramai orang luar yang membeli hartanah di Singapura. Adakah rakyat Singapura risau? Tidak bahkan mereka lebih mengalu-alukan orang luar.
“Dia tidak bodoh, tapi pentingkan diri sendiri dan oportunis,” kata baginda.