Qatar janji beri peruntukan AS$12 juta tangani krisis elektrik di Gaza
JERUSALEM, 17 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Qatar berjanji akan memperuntukkan AS$12 juta kepada pihak berkuasa Palestin bagi membiayai kos bahan api untuk loji jana kuasa Gaza, dalam usaha menangani krisis bekalan elektrik di wilayah itu.
Hamas dalam satu kenyataan di laman web rasminya berkata, perkara itu dinyatakan ketika pertemuan antara Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad al-Thani dengan Timbalan Pengerusi Politburo Hamas, Ismail Haniyeh di Doha.
“Amir Qatar mengarahkan tindakan segera untuk melaksanakan langkah-langkah praktikal untuk menyelesaikan krisis elektrik di Semenanjung Gaza,” kata kenyataan itu.
Gaza mengalami masalah kekurangan bekalan elektrik sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menjejaskan kebanyakan isi rumah yang hanya menerima tiga hingga empat jam elektrik sehari, berbanding sebelum ini iaitu tujuh hingga lapan jam.
Dilaporkan, krisis berkenaan berpunca daripada kekurangan bahan api untuk loji kuasa Gaza dan masalah teknikal dengan talian elektrik yang datang dari Mesir.- Agensi