China sedang beri ‘gundik dan candu’ khayalkan Malaysia
Oleh Razali bin Zakaria
BANGI, 18 Rabiulakhir 1438H, Selasa – “Tidak hairanlah kalau Malaysia dan Singapura sedang digula-gulakannya seperti hulubalang (warlords) China zaman silam mengkhayalkan Maharaja China dengan gundik-gudik dan candu.”
Demikian kata bekas Ketua Pengarang New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin yang mengulas kebelakangan ini China amat selesa dengan Malaysia dan mula akrab dengan Singapura selepas kematian Lee Kuan Yew pada 2015.
Beliau berkata, China kini memperluaskan hegemoninya secara tersirat melalui kuasa tentera dan tersurat melalui ekonomi, di mana Malaysia dan Singapura dianggap sebagai sebahagian daripada ‘wilayahnya’ di bawah projek ‘one belt one road’ (Obor).
Katanya, di bawah projek Obor inilah China sangat agresif memasarkan teknologi kereta apinya kepada Malaysia dan Singapura serta memberi pinjaman berbilion ringgit bagi melaksanakannya.
“Kalau pada zaman silam semua laluan dikatakan berakhir di Rom, di bawah Obor, semua laluan, khususnya kereta api, berakhir di Beijing.
“Bagi Najib (Datuk Seri Najib Razak) yang sedang lemas dalam hutang 1MDB dan musibah pertumbuhan ekonomi yang mendatar, dasar China ini umpama pucuk dicita ulam mendatang.
“Beliau mengambil kesempatan menjual dan menggadaikan aset negara, khususnya tanah, kepada China untuk menimbus bangkai 1MDB,” kata wartawan veteran itu dalam blog beliau hari ini.
A Kadir berkata, setelah berjaya menjinakkan negara-negara yang bersempadan dengannya melalui kuasa tentera dan ekonomi, kini China berusaha menjinakkan pula negara-negara barisan kedua seperti Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia.
“Dan apa yang Ahmad Zahid (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) lakukan dalam lawatan ke Yunnan itu, umpama menyorong bantal kepada orang mengantuk. China sedang mencari jalan memperluaskan hegemoninya dan Ahmad Zahid menawarkan satu lagi peluang melalui perkongsian kawalan sempadan.
“Kalau lebih 500 tahun lalu, korupsi harta benda dan minda di kalangan pembesar empayar Melayu membuka jalan kepada penaklukan Eropah, hari ini kita mungkin berdepan dengan fenomena yang sama.
“Cuma kali ini penjajah bukan dari Barat tetapi dari Utara dan kaedahnya bukan penaklukan wilayah secara rasmi tetapi melalui intimidasi tentera dan penguasaan ekonomi,” katanya menulis dengan tajuk ‘China Bantu Kita Kawal Sempadan?’.
Namun, katanya, apa yang dilakukan Zahid bukan langkah permulaan kerana Najib dalam lawatannya ke China pada November lalu bersetuju membeli empat kapal peronda persisiran pantai dan memberi kontrak projek landasan kereta api Pantai Timur kepada China, yang keseluruhannya berjumlah RM143.64 bilion.
“Senjata dan latihan yang dibekalkan oleh CPC kepada PKM itulah yang membunuh ribuan askar, polis, home guard dan orang awam di Malaysia sehinggalah PKM dibubarkan melalui rundingan pada tahun 1989.
“Kini Najib membeli senjata dari China dan Persatuan China Malaysia (MCA) – parti rakan Umno dalam Barisan Nasional – menjalin kerjasama parti ke parti dengan CPC untuk ‘bekerja sebagai satu’.
“Soalnya apakah lagi konsesi, tolak ansur dan layanan istimewa yang kerajaan BN pimpinan Najib-Zahid akan berikan kepada China tanpa memburukkan lagi potensi ancaman kepada kemerdekaan, kedaulatan dan keharmonian kaum?.
“Kita wajib bersahabat dengan semua negara di dunia dan mengalu-alukan pelaburan terus mereka tetapi ini tidak bermakna kita harus menggadai kedaulatan negara dan menjual tanah kepada mereka,” katanya.
http://www.ismaweb.net/2017/01/kata-pedang-jika-kita-lambung-batu-ke-belakang/