Berita UtamaUtama

Felda Investment disusun semula, ahli lembaga pengarah letak jawatan

KUALA LUMPUR, 18 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Semua ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) diarah meletak jawatan dalam usaha untuk menyusun semula syarikat tersebut, menurut Pengerusi FELDA yang baru dilantik, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

FIC adalah anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan bukan perladangan.

“FIC penting kepada FELDA. Saya sudah minta semua ahli lembaga FIC untuk letak jawatan,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama.

Ini merupakan langkah pertama yang utama bagi FELDA sejajar dengan pengumuman awal beliau mengenai rombakan pengurusan yang besar dalam FELDA.

Perletakan jawatan oleh ahli lembaga pengarah FIC, katanya, akan membuka jalan untuk menyusun semula FIC.

“Kita kena ada pelaksanaan urus tadbir yang baik, jadi saya sudah minta (mereka) letak jawatan. (Saya akan susun semula dan) isi balik. Sekarang kita tak ada CEO pun,” kata Shahrir.

FIC yang ditubuhkan pada 2 Julai 2013 pada dasarnya terbabit dalam pembangunan hartanah, hospitaliti dan pelaburan strategik yang lain.

Objektif utama FIC ialah memberi tumpuan terhadap perniagaan strategik melalui pemerolehan atau kolaborasi yang mungkin memberi faedah kepada syarikat dan pihak berkepentingannya dalam jangka panjang.

Menurut laman web FIC, sepanjang penubuhannya, syarikat telah menandatangani beberapa perjanjian strategik termasuk pelaburan dalam IRIS Corporation Bhd, pengambilalihan syarikat pembangunan hartanah Encorp Bhd dan pelaburan dalam Barakah Offshore Petroleum Bhd, yang menandakan penglibatan pertamanya dalam industri minyak dan gas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker