Himpunan RUU 355 agenda meletakkan Islam di kedudukan tertinggi, mesti dihadiri
BANGI, 18 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Semua pihak, terutama umat Islam diseru supaya hadir pada Himpunan RUU 355, 18 Februari ini kerana ia adalah agenda untuk meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi di negara ini, sebagaimana dimeterai dalam Perlembagaan Negara.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, adalah malang apabila umat Islam sendiri membiarkan kedudukan agama mereka, khususnya Mahkamah Syariah berada pada kedudukan lebih rendah daripada Mahkamah Majistret.
“Setelah kita mencapai kemerdekaan lebih setengah abad, sudah tiba masanya kita menunaikan tanggungjawab orang Islam untuk meninggikan agama kita sendiri yang menjadi rahmat kepada seluruh alam khususnya kedudukan masyarakat majmuk, yang tidak mampu diselesaikan oleh segala undang-undang, teori dan ideologi yang lain.
“Walaupun syariat Islam tidak memaksa kalangan bukan Islam tetapi perlu ditunjukkan model betapa Islam rahmat kepada seluruh alam,” katanya dalam satu kenyataan sembil menjelaskan bahawa, RUU 355 adalah satu usaha bagi menunjukkan keadilan dan kemurnian proses kehakiman Islam.
Katanya, pada masa sama, ia juga dapat memperkenalkan betapa undang-undang Islam lebih bersikap mendidik dan bukannya mendera pelaku jenayah.
“Mendidik kepada yang melakukan jenayah supaya kembali ke pangkal jalan, mendidik bakal yang melakukan jenayah tidak melakukan jenayah.
“Ini adalah kewajipan kita semua seluruh rakyat khususnya orang Islam dalam menunaikan kewajipan menyuruh kepada yang baik yang baik dan mencegah kemungkaran sebagaimana yang diamanahkan oleh Nabi kita Muhammad SAW. Itulah seruan saya.
“Saya tegaskan lagi, marilah kita hadir beramai-ramai ke himpunan pada 18 Februari ini. Himpunan yang sangat penting bagi umat Islam seluruhnya. Mudah-mudahan kita disaksikan oleh makhluk Allah untuk menjadi modal kita bila menghadap Allah SWT pada Hari Kiamat,” katanya.