Berita UtamaUtama

Isu taja TRW: Kementerian tunggu laporan Pelaburan Mara, UniKL

JOHOR BAHRU, 18 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya masih menunggu laporan terperinci daripada dua agensi Mara iaitu Pelaburan Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berhubung isu tajaan kepada pasukan bola sepak Kelantan pada musim lalu.

Ismail berkata, beliau sendiri sehingga kini tidak mengetahui berapa jumlah sebenar dan bila tajaan kepada The Red Warriors (TRW) bermula.

“Saya sedang menunggu laporan terperinci daripada Pelaburan Mara dan UniKL. Saya pun tidak tahu berapa jumlah tajaan ini dan bila bermula.

“Cuma buat sementara waktu, sebarang bentuk tajaan kita tangguh dahulu kerana hendak tengok dan teliti dahulu,” katanya, semalam.

Baru-baru ini, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim mendedahkan Tan Sri Annuar Musa yang merupakan Pengerusi Mara dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah menggunakan kedudukannya untuk memastikan dua agensi kementerian, Pelaburan Mara dan UniKL menaja TRW.

Beliau menggesa Annuar menjelaskan ke mana hala tuju Pelaburan MARA dan UniKL tersebut yang merupakan wang rakyat.

Annuar yang pada mulanya menegaskan bahawa Pelaburan Mara dan UniKL tidak pernah menaja walau satu sen pun kepada pasukan TRW, bagaimanapun kemudian berkata, Mara akur dengan arahan kementerian untuk tidak menaja mana-mana pihak.

Malah, Annuar juga berkata dokumen yang didedahkan oleh Tunku Mahkota Johor itu membuktikan ketelusan Mara dalam membuat tajaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker