Pencarian MH370 digantung: Tiong Lai
KUALA LUMPUR, 18 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014, digantung bermula hari ini sehingga petunjuk baharu ditemui.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, sebentar tadi berkata, keputusan itu dipersetujui bersama oleh kerajaan Australia, Malaysia dan China.
Semua kapal yang terbabit dalam operasi mengesan pesawat MH370 mula meninggalkan zon pencarian, hari ini.
“Penggantungan bermaksud operasi pencarian dihentikan sepenuhnya, namun misi akan disambung semula jika ada petunjuk baharu yang boleh dikaitkan dengan kehilangan pesawat itu.
“Semua kapal yang terbabit dalam misi ini akan mula meninggalkan zon pencarian hari ini,” katanya pada sidang media selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu peringkat kebangsaan sempena Tahun Baharu Cina 2017 di sini, hari ini.
Pesawat yang membawa 12 kru dan 227 penumpang itu hilang dari radar ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Pada 24 Mac 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi.