Berita UtamaUtama

Penyerahan 3,000 motosikal Mobilepreneur dilakukan dalam masa terdekat

JOHOR BAHRU, 18 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Penyerahan 3,000 unit motosikal kepada belia di negara ini bagi menjayakan program usahawan bergerak tahun ini, akan dilakukan secara berperingkat selewatnya dalam tempoh dua bulan lagi, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, peruntukan untuk melaksanakannya telah pun diluluskan dengan jumlahnya meningkat lima kali ganda iaitu daripada hanya RM5 juta tahun lalu kepada RM30 juta tahun ini.

“Johor sebagai contoh akan menerima 300 daripada 3,000 unit itu, bermakna 10 peratus. Negeri-negeri lain kita belum ada maklumat.

Namun begitu, kita menyasarkan pendapatan (diperoleh belia) antara RM1,500 atau 2,000,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan Mobilepreneur kepada 17 penerima di Dewan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini

Ismail Sabri berkata, Mobilepreneur adalah inisiatif untuk membantu belia di luar bandar dan bandar yang tidak mempunyai pekerjaan untuk menjalankan perniagaan berasaskan perkhidmatan, tanpa perlu membuka atau menyewa premis perniagaan.

Antara perniagaan berbentuk perkhidmatan yang boleh diceburi menerusi Mobilepreneur ini ialah dalam bidang automotif, kimpalan, dandanan rambut, jahitan dan spa kecantikan.

Katanya, belia-belia yang dipilih tidak semestinya merupakan pelatih GiatMara kerana ia turut terbuka kepada pelatih-pelatih kemahiran di institusi dan agensi lain.

Malah, sebagai memastikan mereka boleh berdaya saing, kerajaan akan menyediakan latihan seperti pemasaran.

“Selain itu, kita akan membuat pemantauan secara berterusan kerana kita tidak hendak motosikal yang diberikan tidak digunakan untuk perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, pemberian motosikal itu boleh ditarik balik sekiranya berlaku penyalahgunaan kemudahan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker