PRK Tanjung Datu: SPR adakan mesyuarat Khamis ini
BANGI, 18 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis ini, bagi membincangkan dan memutuskan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Datu.
Kerusi di kawasan berkenaan kosong selepas kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada minggu lalu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, mesyuarat khas berkenaan akan diadakan di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.
“SPR telah menerima pemberitahuan rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan kerusi di Tanjung Datu.
“Justeru, mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan pilihan raya kecil Tanjung Datu. Ia termasuk tarikh penting bagi penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, satu sidang media juga akan diadakan selepas selesai mesyuarat berkenaan.
“Perkara-perkara lain yang akan dibangkitkan ketika mesyuarat itu termasuklah persediaan pihak suruhanjaya,” katanya.
Adenan yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak disahkan meninggal dunia pada 11 Januari lepas, kira-kira jam 1.20 tengah hari akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan.