ISTANBUL, 18 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Suspek yang membunuh 39 orang dalam serangan di sebuah kelab malam di sini pada malam sambutan tahun baru yang lalu dilahirkan di Uzbekistan dan menerima latihan di Afghanistan.
Gabenor Istanbul, Vasip Sahin memberitahu wartawan selepas suspek ditangkap di pinggir bandar ini hari ini, bahawa lelaki itu Abdulkadir Masharipov dilahirkan pada 1983, mengaku kesalahannya, selain cap jarinya juga sama dengan yang ditemui di tempat kejadian.
Adalah dipercayai suspek yang boleh bercakap dalam empat bahasa, memasuki Turki secara haram di sempadan sebelah timur.
“Adalah jelas serangan itu dibuat atas nama IS,” katanya.
NTV televisyen melaporkan Abdulkadir sebelum ini tinggal di rumah dimiliki rakan senegaranya.
IS mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas kelab malam itu yang mengorbankan 39 pengunjung pada malam tahun baru, sebagai tidak balas pembabitan Turki dalam gerakan ketenteraan di Syria. – Agensi