Ujian pengesan pembohongan wajar tangani salah laku penjawat awam
KUALA LUMPUR, 18 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Ujian poligraf, iaitu ujian untuk mengesan pembohongan wajar diperkenalkan dan dilaksanakan secara meluas dalam sektor awam bagi mengesan salah laku dalam kalangan penjawat awam, kata Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia, Datuk Akhbar Satar.
Katanya, langkah itu bukan sahaja mampu mengenal pasti individu yang melakukan kesalahan seperti penyelewengan, penipuan dan rasuah, tetapi juga memberi peluang kepada seseorang penjawat awam yang dituduh melakukan salah laku membersihkan nama mereka.
Akhbar berkata, dengan keberkesanan 98 peratus dalam mengesan pembohongan, ujian itu boleh dilakukan terhadap penjawat awam terutama mereka yang memegang jawatan tinggi dan penting.
“Ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai penguatkuasaan dan penjawat awam yang memegang jawatan sensitif seperti menguruskan dana dan kontrak selain mereka yang terlibat dalam menjaga keselamatan negara juga wajar menjalani ujian itu,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Akhbar yang juga Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia menjelaskan ujian itu diguna secara meluas di lebih 80 negara dalam pelbagai sektor termasuk negara jiran seperti Singapura dan Thailand.
Beliau berkata, di Malaysia penggunaan ujian itu hanya melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan untuk tujuan siasatan dan segelintir syarikat swasta yang menggunakan poligraf bagi siasatan dalaman dan pengambilan pekerja baharu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun sektor awam di negara ini melibatkan jumlah kakitangan yang besar, ujian boleh dilakukan secara rawak dan mengejut terhadap individu yang dikenal pasti ada masalah integriti.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda pula berkata, pihaknya menyokong apa sahaja pelaksanaan yang boleh meningkatkan lagi kredibiliti dan integriti penjawat awam.
Bagaimanapun, katanya, jika ujian poligraf itu mahu dilaksanakan, pihak berkenaan perlu mengambil kira soal persepsi masyarakat agar tidak wujud prejudis terhadap penjawat awam.
“Kita tidak mahu nanti orang menganggap seolah-olah semua penjawat awam ini tidak jujur dan perlu mengambil ujian poligraf, walhal yang sebenarnya hanya segelintir sahaja yang bermasalah,” katanya.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bersetuju untuk memperkenalkan semula ujian poligraf bagi membendung gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.
Dalam laporan itu, akhbar berkenaan memetik SPA sebagai berkata bahawa suruhanjaya berkenaan bersedia mengadakan perbincangan dengan agensi kerajaan untuk menentukan penjawat awam yang perlu menjalani ujian poligraf dan kekerapannya.
Secara ringkas, poligraf ialah alat untuk merakam pelbagai gerak balas fisiologi secara serentak seperti gerakan gelombang nadi, pernafasan dan tekanan darah.
Menerusi ujian itu, gerak balas fisiologi subjek dianalisis untuk mengesan sebarang pembohongan berdasarkan soalan-soalan yang dikemuka oleh pakar.