Urus niaga Forest City perlu telus, didedahkan: Tun M
BANGI, 18 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan segala urusan perniagaan, termasuk pembeli kediaman di Forest City di Johor Bahru didedahkan kepada umum, supaya prosesnya diyakini dijalankan secara telus.
“Jadikan semua urus niaga telus. Terbitkan semua dokumen mengenai pelaburan di dalamya, bilangan pekerja, negara asal mereka, pembeli, bank-bank yang membiayai dan pengeluaran dana. Lakukan ia secara jujur. Tiada persembunyian.
“Benarkan badan ketelusan memeriksa dokumen rasmi yang didedahkan. Biar rakyat melihat dokumen-dokumen itu untuk membuktikan ketulenan mereka,” katanya menulis kepada akhbar The Star, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun ini berkata, 700,000 warga China yang terbabit dalam projek pembangunan gergasi di Johor akan diberikan kewarganegaraan.
Dr Mahathir memberi jawapan sedemikian susulan kenyataan Sultan Johor, Tuanku Ibrahim Ibni Sultan Iskandar yang membidasnya dengan mengatakan beliau cuba mencipta ketakutan dan mempergunakan isu perkauman untuk mencapai matlamat politik.
Tuanku Ibrahim dilaporkan berkata, sudah lama baginda menahan diri daripada mengulas kontroversi yang dibangkitkan Dr Mahathir dan penyokongnya.
“Saya tidak tahu sama ada benar atau tidak Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor mencabar saya berkaitan pembangunan di Johor Bahru. Mungkin The Star sahaja membuat tafsiran apa yang dikatakan oleh Sultan Johor sebagai cabaran kepada saya. Kecuali baginda menafikan cabarannya, saya menganggap laporan The Star itu adalah benar.
“Saya mengakui saya tiada kelebihan. Orang boleh mengatakan apa sahaja yang mereka suka terhadap saya, dan saya mengalu-alukan kebebasan mereka untuk bercakap. Saya berharap menjawab kepada cabaran Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor tidak menyebabkan saya ditangkap dan dipenjara tanpa bicara.
“Sekarang, apa yang saya kata? Tidak lebih hanya ulangan laporan Bloomberg dalam media. Tetapi saya memahami kenapa (laporan) Bloomberg itu tidak dicabar atau dinafikan,” tulis beliau.
Tun Dr Mahathir berkata, dalam laporannya pada 22 November tahun lalu Bloomberg menyatakan bahawa sebuah syarikat dari China akan membina Forest City di Johor bahru yang boleh memuatkan 700,000.
“Ia seterusnya berkata bahawa segerombolan rakyat China diterbangkan untuk melihat model bersaiz manusia dan mereka sudah dan akan membeli hartanah di Forest City. Saya ragu-ragu jika ramai orang Melayu dan Cina Johor akan membeli pangsapuri ini. Rakyat Malaysia tidak terlalu ramai untuk membeli semua hartanah ini,” katanya.
Mengimbas kembali pada tahun 1819, Dr Mahathir berkata, apabila Sultan Ali, Sultan Johor pada masa itu enggan memajak Singapura kepada British, Temenggong menandatangani pajakan.
“Dan lihatlah Singapura hari ini. Singapura yang dahulunya sebahagian daripada Johor sekarang adalah sebuah negara asing, tidak dinafikan memang maju, tetapi ianya sebuah negara asing.
“Akan ada lebih daripada satu juta warga asing yang tinggal di Forest City di JB dan di 60 pembinaan yang lain. Tempat-tempat baru ini tidak akan menjadi sebuah negara yang asing, tetapi mereka akan dibanjiri oleh mereka. Jika mereka tinggal cukup lama, mereka layak untuk menjadi warganegara Malaysia.
“Ya, saya galakkan pelaburan langsung asing (FDI). Tetapi ia bukan membeli tanah di Malaysia, membangun dan menjualnya kepada orang asing yang akan tinggal di sini.
“FDI adalah mengenai pelaburan dalam industri pembuatan. Syarikat-syarikat Malaysia akan membina bangunan dan rakyat Malaysia akan bekerja di industri. Mereka akan memperoleh kemahiran dan memulakan perniagaan pembuatan mereka sendiri,” katanya.
Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan sebelum ini menggalakkan warga asing untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka.
“Tetapi bilangan mereka amat kecil. Dasar pandang ke timur bukan bererti migrasi besar-besaran. Ia mengenai rakyat Malaysia yang belajar mengenai bagaimana negara-negara Timur membangunkan negara mereka sendir
“Saya seorang rakyat Malaysia lahir di Kedah. Malaysia tanah air saya dan tumpuan taat setia saya. Sekiranya saya dituduh derhaka atas apa yang saya katakan, biarlah,” katanya.