Dua dokumen penting mengenai Rohingya bakal dipersetujui: Anifah Aman
KUALA LUMPUR, 19 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memaklumkan, dua dokumen penting mengenai situasi minoriti muslim Rohingya di Myanmar, bakal dipersetujui secara bersama menjelang Sesi Khas Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), esok.
Beliau berkata, keputusan sebulat suara oleh 57 delegasi negara anggota OIC itu akan diterjemah kepada resolusi dan kenyataan akhir hasil mesyuarat khas yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Katanya, kenyataan akhir delegasi OIC mencakupi solidariti pertubuhan antarabangsa berkenaan, selain ia bersandarkan beberapa aspek dan isu semasa di Myanmar.
“Malaysia akan memastikan kenyataan ini mempunyai elemen mendesak kerajaan Myanmar supaya mematuhi peraturan antarabangsa dan mengambil langkah sewajarnya dalam menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah Rakhine.
“Kerajaan Myanmar juga perlu memberi jaminan keselamatan terhadap komuniti Rohingya yang ingin pulang ke republik berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Anifah berkata, intipati resolusi itu akan dibincangkan oleh setiap delegasi negara anggota, namun Malaysia mempunyai beberapa agenda tersendiri.
“Kita ingin suarakan keprihatinan Malaysia berhubung tindakan keganasan dan penindasan hak asasi manusia terhadap masyarakat Rohingya, selain kesan limpah daripada perlakuan itu kepada negara jiran,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, antara lain dijangka mengadakan jamuan tengah hari dengan semua ketua delegasi OIC pada jam 1 tengah hari, esok.
Sesi khas selama sehari itu turut merangkumi penerangan mengenai situasi semasa etnik Rohingya yang akan dikendalikan Duta Khas OIC ke Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar.