Berita UtamaUtama

Kaedah penyeluk saku digital tidak benar: BNM

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini menafikan laporan media berhubung kaedah penyeluk saku digital yang telah tersebar luas di media sosial sejak semalam.

Dalam satu kenyataannya hari ini, ia berkata, kad tanpa sentuh dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan iaitu suatu cip yang menjana kod dinamik bagi setiap transaksi.

Manakala bagi urus niaga kad dalam talian, pemegang kad dikehendaki memasukkan TAC (transaksi kod kebenaran) yang dihantar ke telefon mudah alih mereka .

Maklumat penting pada kad juga tidak boleh diperolehi secara seluk saku digital, katanya.

Dengan ciri-ciri keselamatan ini, kad tidak boleh diklon atau digunakan untuk transaksi yang tidak dibenarkan oleh si penipu.

Semalam, media melaporkan kaedah penyeluk saku digital dengan hanya memuat turun aplikasi melalui sumber terbuka seperti di Playstore/Appstore.

Pencuri didakwa boleh mencuri data kad bank dengan mendekatkan telefon pintar dengan kad bank pada jarak semeter.

Ia juga boleh menggunakan alat pembaca gelombang radio yang boleh didapati di talian.

Dengan cara ini pula, pencuri boleh mencuri data kad bank dengan mendekatkan telefon pintar dengan kad bank pada jarak 5 meter.

Laporan itu mendakwa, alat pembaca gelombang radio ini dikatakan boleh menyimpan transaksi sekitar RM300 hingga RM1,500 tanpa memerlukan jaringan internet.

Dalam pada itu, BNM turut menasihatkan pemegang kad untuk melindungi kad pembayaran dan PIN mereka pada setiap masa.

“Pemegang kad perlu memaklumkan bank mereka dengan segera sekiranya kad pembayaran mereka hilang atau dicuri, atau PIN mereka telah terjejas atau mereka melihat apa-apa transaksi yang tidak dibenarkan menggunakan kad mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker