KPDNKK senarai 13 barangan kawalan harga Tahun Baharu Cina
PUTRAJAYA, 19 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Sebanyak 13 jenis barangan dikenakan kawalan harga, bermula 23 Januari hingga 3 Februari ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Barangan yang dikenakan harga maksimum di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2017 itu adalah ialah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya) dan ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).
Selain itu, telur ayam Gred A, B dan C; kubis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor) dan udang putih besar (berat antara 41 hingga 60 ekor sekilogram).
Turut disenaraikan, babi hidup (harga maksimum diperingkat ladang saja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
Hamzah berkata, skim kawalan harga itu membabitkan 149 kawasan dan daerah di seluruh negara.
Katanya, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit itu dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian untuk memastikan harga berpatutan bagi pengguna dan peniaga.
“Peniaga digalakkan menjual barangan itu lebih rendah daripada harga maksimum jika peniaga memperolehnya dengan harga lebih rendah serta meletakkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan berkenaan.
“Kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal boleh menyebabkan mereka didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan denda RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat.
“Individu yang menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
“Selain itu, syarikat yang menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum pula boleh didenda RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.