Berita UtamaUtama

Limau mandarin selamat dimakan, tidak mengandungi sulfur dioksida: KKM

BANGI, 19 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan limau mandarin yang dijual di Malaysia selamat untuk di makan.

KKM dalam satu kenyataan berkata, setakat pemantauan pihaknya, mereka tidak lagi menemui limau mandarin yang dijual di Malaysia mengandungi sulfur dioksida.

“Hasil pemantauan sepanjang tahun 2015 hingga 2016, kami mendapati tiada limau mandarin yang dikesan mengandungi sulfur dioksida.

“Walau bagaimanapun, KKM akan meneruskan pemantauan ke atas limau mandarin yang dijual di pasaran bagi memastikan ianya selamat dimakan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” kata kenyataan itu.

KKM mengeluarkan kenyataan sedemikian susulan berita yang tersebar di laman sosial mengatakan limau mandarin yang dijual di negara ini didakwa mengandungi sulfur dioksida.

Dalam penjelasannya, KKM menyatakan sulfur dioksida dibenarkan sebagai bahan pengawet dalam makanan tertentu tapi dengan kandungan mestilah tidak melebihi 30 mg/kg.

“Bagi melindungi pengguna yang sensitif kepada sulfur dioksida, di bawah subperaturan 20(6) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, setiap bungkusan yang mengandungi makanan untuk jualan termasuk produk segar seperti limau mandarin yang ditambah sulfur dioksida lebih daripada 10 mg/kg, suatu pernyataan “mengandungi sulfur dioksida” hendaklah dilabel pada bungkusan tersebut.

“Sesiapa yang gagal mematuhi peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM 5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada dua (2) tahun,” kata kenyataan itu lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker