Suruhanjaya bebas mesti ditubuh siasat penjualan aset Felda
BANGI, 19 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Kerajaan digesa menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat masalah di dalam Felda, yang menyebabkan timbul cadangan untuk menjual beberapa asetnya di dalam dan luar negara, bagi menstabilkan aliran tunainya.
Sehubungan itu, Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat, Naraza Muda, berkata pengurusan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) mesti dipertanggungjawabkan di atas tindakan mereka membuat pelaburan dan pembelian aset yang menimbulkan masalah kepada Felda.
“Kami tidak mahu mereka yang menguruskan FIC terlepas dari kesalahan di atas tindakan mereka sebelum ini membuat keputusan pelaburan dan pembelian aset yang menimbulkan masalah sepertimana disahkan oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad dengan menyifatkan kelemahan tadbir urus itu berpunca daripada ‘aset bermasalah’ yang kini dimiliki FIC.
“Tan Sri Shahrir juga merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara yang mengesahkan sejumlah wang yang besar terlibat dalam kesemua pelaburan bermasalah seperti mana dilaporkan oleh Astro Awani dengan merujuk kepada laporan Bernama pada 17 Januari 2017 lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, walaupun Shahrir tidak menyatakan secara terperinci pelaburan di London yang bermasalah, pihaknya yakin ia membabitkan hartanah mewah Grand Plaza Serviced Apartments di Bayswater, London yang dibeli pada harga RM538 juta.
“FIC juga membeli sebuah hotel 4 bintang di kawasan mewah Kensington juga di London bernilai RM330 juta. Park City Hotel dengan 62 bilik tetamu dan dua unit servis apartmen tiga bilik tidur yang telah dinamakan semula kepada Grand Plaza Hotel.
“FIC juga telah membeli asrama pelajar dikenali Felda House Wembley yang terletak di tengah-tengah Wembley London dengan nilai hampir RM400 juta. Sebelum ini, kami membuat pendedahan ini beberapa kali untuk meminta penjelasan pihak Felda terutamanya Pengerusi Felda ketika itu, Tan Sri Isa Abdul Samad,” katanya.
Sehubungan itu, Naraza berkata, siasatan yang telus mesti dijalankan terhadap semua urusniaga berkenaan, bagi memastikan mereka yang terbabit dikenakan tindakan.
http://www.ismaweb.net/2017/01/felda-jangka-jual-lebih-banyak-aset-luar-negara/