Hospital Tuanku Jaafar masih selamat digunakan: Bomba
SEREMBAN, 20 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), yang merupakan hospital tertua di negeri ini, masih selamat untuk digunakan, kata Pengarah Bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis.
Beliau berkata, hospital itu yang dibina pada 1969 di kawasan seluas 26 hektar di Jalan Rasah, dekat sini dan mempunyai 1,070 katil, kini dalam proses mendapatkan Sijil Kebakaran (FC).
“Insya-Allah kita cuba percepatkan (dapatkan FC) tahun ini… sebab kita dah buat pemeriksaan. Bukan sebab berlakunya kemalangan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, baru kita nak buat,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tahunan 2017 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Beliau mengulas pertanyaan pemberita mengenai tahap keselamatan hospital di Negeri Sembilan bagi membendung tragedi kebakaran seperti yang berlaku di HSA pada 25 Okt tahun lepas, yang mengorbankan enam pesakit.
Selain HTJ, lima lagi hospital di Negeri Sembilan ialah Hospital Jempol, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (Kuala Pilah), Hospital Tampin, Hospital Jelebu dan Hospital Port Dickson.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan menerima Sijil Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di atas kecemerlangan dalam kategori Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan, sekaligus menjadi negeri pertama yang menerimanya.
Sijil pengiktirafan tersebut disampaikan Timbalan Pengarah Seksyen Inovasi dan Pengiktirafan Bahagian Perundingan Pengurusan MAMPU Sharul Nizal Sharippudin.
Pada majlis itu, 12 pengamal media, termasuk empat daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia biro Negeri Sembilan, menerima sijil penghargaan atas jasa dan bakti dalam melaporkan kes seperti kemalangan serta kebakaran. – Bernama