Kalimah Allah dalam CD: Keputusan sama ada MAIS jadi pencelah pada 28 Februari
KUALA LUMPUR, 20 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 28 Februari ini untuk memutuskan sama ada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) boleh menjadi pencelah dalam permohonan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan cakera padat (CD) oleh seorang wanita.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Datuk Sulaiman Abdullah mewakili MAIS.
Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Datuk Lim Heng Seng dan Annou Xavier mewakili wanita itu, Jill Ireland Lawerence Bill.
Pada 20 Ogos 2008, MAIS memohon untuk menjadi pencelah dalam semakan kehakiman oleh Jill bagi mendapatkan semula lapan CDnya yang dirampas dan pengisytiharan bahawa beliau berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi kalimah ‘Allah’ dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai responden.
Pada 11 Mei 2008, CD berjudul ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’, telah dirampas daripada Jill, wanita daripada suku kaum Melanau, Sarawak, sebaik beliau tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
Pada 21 Julai 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan supaya CD itu dikembalikan kepada Jill tetapi mahkamah itu tidak mengeluarkan perintah terhadap pengisytiharan yang dimohon oleh wanita itu bahawa beliau berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi perkataan “Allah”.
Pada 23 Jun 2015, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang memerintahkan KDN supaya memulangkan lapan keping CD mengandungi kalimah Allah milik Jill selepas menolak rayuan KDN dan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Mahkamah Rayuan memerintahkan KDN supaya memulangkan kesemua CD itu dalam tempoh sebulan dari tarikh keputusan itu.
Panel itu juga memerintahkan pengisytiharan yang dimohon oleh wanita itu bahawa beliau berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi kalimah ‘Allah’ didengar di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan MAIS untuk menjadi pencelah sebelum mendengar permohonan pengisytiharan oleh Jill itu. – Bernama