Berita UtamaUtama

Keputusan lulus STAM Maahad Imtiyaz meningkat, dua pelajar terbaik di Perak

Ahmad Muinuddin Aladdin bersama keluarga, antara pelajar Maahad Imtiyaz yang mendapat keputusan Mumtaz dan terbaik di Perak

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 20 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Peratusan kelulusan pelajar yang menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016 di Maahad Imtiyaz, Ipoh, Perak meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Penyelaras STAM Maahad Imtiyaz, Ustaz Mohd Najib Sadli ketika dihubungi berkata, dua pelajar maahad iaitu Nursyahida Abu Ubaidah dan Ahmad Muinuddin Aladdin antara 10 pelajar yang mendapat keputusan terbaik Mumtaz di seluruh negeri Perak.

“Salah seorangnya adalah tempat kedua daripada 10 antara mereka. Alhamdulillah, terdapat peningkatan mendadak dari sudut peratus lulus keseluruhan pelajar.

“Jika tahun lepas, hanya 52 peratus tetapi tahun ini meningkat kepada 63 peratus. Kempen Jom Berani Mumtaz Sifar Rasib yang telah dicanangkan sejak awal tahun memberi kesan besar kepada para pelajar dalam usaha mereka untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Pada tahun ini, pelajar yang memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) ialah 4 orang, yang mendapat keputusan Jayyid Jiddan 7 orang, Jayyid 20 orang dan Maqbul seramai 18 orang.

Beliau berkata, slogan “Mumtaz Untuk Ummah” yang dipelopori oleh generasi pertama 2010 diharapkan akan terus menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi bukan sahaja dari aspek akademik malahan di sudut jati diri dan akhlak sebagai muslim.

Maahad Imtiyaz ini adalah sebuah Akademi di bawah Akademi Ikatan Muslimin (AIM) yang memfokuskan untuk mendidik jati diri masyarakat untuk melahirkan ummah yang beragenda.

Selain Maahad Imtiyaz, terdapat juga Sekolah Rendah Imtiyaz dan Tadika Imtiyaz.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker