Malaysia mahu beri 56,000 warga Rohingya latihan separa mahir
KUALA LUMPUR, 20 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia mempunyai hasrat menjadikan 56,000 etnik Rohingya yang memegang kad berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) diberi peluang menjalani latihan separa mahir.
Katanya, usaha itu bagi menjadikan etnik tersebut daripada liabiliti kepada aset negara.
“Terutamanya untuk rakyat Rohingya yang mempunyai kad UNHCR dianggarkan berjumlah 56,000 orang akan diberikan beberapa kemudahan pertamanya untuk diberikan latihan dalam bidang separa mahir yang kita akan perincikan perlaksanaannya.
“Mereka juga dapat diberikan peluang pekerjaan dengan terus memegang kad UNHCR dan diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) agar kita dapat menukarkan status mereka kepada liabiliti kepada aset sebagai tenaga kerja tambahan ikut bidang-bidang tertentu yang diizinkan ikut perundangan.
“Ini sedang dilakukan perinciannya dan itu akan saya umumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sesi tergempar mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC mengenai situasi minoriti Muslim Rohingya di KLCC, Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Zahid berkata, pelarian yang memegang kad UNHCR untuk memiliki PLKS untuk bekerja di negara ini dilakukan secara berperingkat.
Selain itu, pihaknya akan melengkapkan jumlah peserta projek perintis itu dari 150 orang ketika ini kepada 300 orang.