Berita UtamaUtama

Mufti tak tahu 1MDB taja haji guna duit curi: Tun M

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, para mufti tidak memiliki pengetahuan yang cukup mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memutuskan samada duit daripada syarikat itu boleh digunakan untuk ibadat haji ataupun tidak.

“Sementara mufti mungkin arif dalam bidang agama, tetap jelas mereka tidak tahu dengan mendalam berkenaan 1MDB dan bagaimana Najib telah melakukan berbagai jenayah, termasuk mencuri duit 1MDB.

“Tanpa ditanya atau dikaji, jauh sekali dibicara dengan tertib berkenaan jenayah yang dilakukan oleh Najib dengan wang 1MDB, mereka menjatuh hukum bahawa wang 1MDB halal diguna untuk ibadah haji,” katanya dalam laman blog chedet.cc, semalam.

Walhal, beliau berkata, ramai rakyat Malaysia tahu dan seluruh dunia tahu bahawa wang sebanyak 42 billion Ringgit dipinjam oleh 1MDB dengan faedah yang amat tinggi dan komisyen 10% kepada Goldman Sachs tanpa mengikuti cara-cara pinjaman Kerajaan.

Katanya, wang ini dilabur dalam syarikat yang menimbul tanda tanya akan aset dan perniagaanya, dikeluar modal yang dilabur dari syarikat ini, dijadikan pinjaman kepada syarikat ini, dipindah ke beberapa pulau Caribbean, dimasuk dalam bank di Singapura dan sekarang ini diketahui dapat ke tangan Jho Low.

Wang itu kemudiannya didakwa oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah masuk dalam akaun peribadi Najib.

“Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah dakwa lebih US $3 billion wang 1MDB telah dicuri dan percubaan dibuat untuk membersihkan wang ini dengan membeli rumah mewah di Amerika dan di U.K. serta dibeli gambar lukisan dan dilabur dalam pengeluaran filem lucah “Wolf of Wall Street”.

“Bagi hakim yang berhajat menjatuh hukuman, semua ini perlu diselidiki dan diambil kira sebelum dihukum. Tetapi amatlah jelas kewangan 1MDB tidak dikaji oleh mufti kerana ingin menghalalkannya untuk buat ibadah haji.

“Mungkin orang Islam seperti saya tidak tahu secara mendalam dengan hukum hakam Islam, tetapi semua tahu bahawa wang yang dicuri tidak halal. Mengguna wang yang dicuri untuk ibadat amat bercanggah dengan ajaran Islam. Ia ditegah.

“Oleh kerana mufti-mufti tidak tahu dan tidak mengadakan kajian dan perbicaraan dengan tertib sebelum mereka membuat kenyataan bahawa saya cuba menjadi Tuhan kerana menyoal samada sah atau tidak mengguna duit 1MDB, maka saya berhak mempertikaikan dakwaan mereka.

“Lebih-lebih lagi mereka adalah pegawai upahan Kerajaan dan terdedah kepada tindakan jika mereka, dengan mendakwa ibadat haji dengan duit 1MDB tidak sah, sekaligus mengaku Najib telah mencuri duit 1MDB,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir membuat spekulasi bahawa, pihak-pihak ini sudah tentu mengetahui tujuan sebenar Najib membiayai beribu orang untuk tunaikan ibadat haji adalh bukan kerana mencari pahala tetapi kerana bertujuan mendapat sokongan politik dari penerimanya.

“Ini adalah satu jenis rasuah dan ini juga haram disisi agama Islam. Apakah pendapat mufti berkenaan dengan ibadat haji dengan duit dua kali haram – sekali duit curi, kemudian duit sogok.

“Kalau masih anggap halal, terimalah dan lakulah ibadat haji dengan duit 1MDB,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

2 komen

  1. Jgn fikir org lain suka mencuri duit raayat bagi pada anak anak sendiri hingga jadi bilionair.

  2. ” Lebih lebih lagi mereka adalah pegawai upahan kerajaan dan terdedah kepada tindakan jika mereka…………… ” adalah satu kenyataan yang sangat biadap terhadap kesucian institusi Mufti Negara. Taubatlah………. kalau pun ditangkap dek akta hasutan hanya menyusahkan saja, hanya buat banyak paperwork saja. dah lah……..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker