PRK Tanjong Datu 14 Februari
PUTRAJAYA, 20 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Sarawak akan diadakan pada 18 Februari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, untuk hari penamaan calon pihaknya tetapkan pada 4 Februari.
Katanya, bagi tarikh pengundian awal SPR tetapkan pada 12 Februari.
“SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2015 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) sehingga suku kedua 2016 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.
“Ia mengandungi 9,959 daftar pemilih berdaftar membabitkan 9,771 pemilih biasa dan 188 pengundi awal yang terdiri daripada tentera dan pasangan serta polis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Ibu Pejabat SPR hari ini.
Menyentuh mengenai kos perbelanjaan untuk PRK ini Hashim berkata, dianggarkan sebanyak RM997,919, dan 250 petugas akan dilantik untuk mengendali proses pilihan raya ini.
“SPR akan menggunakan Dewan Masyarakat Lundu sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi.
“Manakala pusat pengundian awal akan diadakan di Dewan Masyarakat Kpg Sungai Lundu dan Dewan ULS Kem Sampadi.
“Selain itu18 premis bangunan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mempunyai 27 saluran tempat mengundi,” katanya lagi.
Kerusi DUN Tanjong Datu kosong selepas penyandangnya, Tan Sri Adenan Satem, meninggal dunia pada 11 Januari lalu akibat komplikasi jantung.