Tiada keperluan sahut cabaran Pengarah NOW: Shahrir
KUALA LUMPUR, 20 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata tiada keperluan untuknya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan ketirisan dalam syarikat berkaitan kerajaan itu.
Shahrir menegaskan negara ini mempunyai sistem perundangan dan pihak berkaitan “tahu” dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Semua itu nak dicabar, hanya cakap-cakap. Banyak orang buat kerja mereka sendiri, negara ini ada sistem, bukan tunggu cabaran personaliti atau tokoh-tokoh untuk kita buat kerja,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cabaran Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir supaya Felda membuat laporan kepada SPRM mengenai ketirisan dialami syarikat berkaitan kerajaan itu.
Akmal dalam kenyataan pada Rabu, mencabar Shahrir membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk polis dan SPRM untuk menyiasat sama ada Felda mempunyai unsur jenayah atau rasuah akibat berlaku ketirisan.
Terdahulu, Shahrir yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Indienomics dan Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap).
Usahasama itu memberi peluang kepada graduan di bawah Mantap untuk bekerja dan menjalani latihan industri di syarikat-syarikat di bawah naungan Indienomics.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Mantap, Datuk Razali Ibrahim dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Noraini Ahmad.
Program Indienomics yang bermula sejak 31 Ogos 2015 adalah gerakan keusahawanan yang menggabungkan lebih 30 ikon usahawan muda pelbagai industri seperti logistik, media, fesyen dan penerbitan buku. -Bernama
Sikit sikit mencabar Orang, nah padan muka NOW, macam lah suci sangat. Apa ingat SPRM tu… tidor kah? lepas tu, kalau SPRM istiharkan tiada Unsur Rasuah & Salahguna kuasa, SPRM dihantamlah pula dengan tidak telus, habis tu, sapa yang telus ? Kau ? atau orang orang yg. tak habis habis kata orang lain Perasuah & Salahguna kuasa. Kalau NOW dah syak orang Rasuah dan salah guna kuasa buatlah lapuran sendir bha. Kenapa takut kena saman? atau memang hobinya cari salah orang saja mcm. yang seorang tu….. asik fitnah sana fitnah sini. Berhentilah kalian dari CARI BURUK ORANG takut takut kita sendiri lebih BURUK DAN BUSUK. — asik memburukkan bangsa sendiri saja, kalau bangsa lain buat hal merekalah juga dibarisan hadapan jadi Pembela. Teringat pula Dailog Filem P.Ramlee ” macam syaitan ! “