Masyarakat diseru bantu golongan alami kecelaruan jantina: Khutbah JAIS
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 21 Rabiulakhir 1438H, Jumaat – Khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengingatkan umat Islam supaya mensyukuri kejadian yang telah ditentukan tanpa mengubah ciptaan Allah dan reda dengan ketentuan tersebut
Katanya, umat Islam wajib menyedari bahawa hukum pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya dengan apa cara sekalipun adalah haram dari segi syarak.
“Di tengah-tengah kesibukan melayari kehidupan di dunia hari ini, adakalanya manusia terlupa akan batas-batas kehidupan sebagai seorang manusia dan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
“Kealpaan itu menyebabkan ada segelintir insan yang tidak mensyukuri nikmat kehidupan itu sendiri. Sebaliknya, membiarkan diri dikuasai oleh syaitan durjana dan tuntutan hawa nafsu semata-mata, seterusnya membawa kepada perlakuan tidak bermoral dalam kehidupan masyarakat.
“Perlakuan tidak bermoral yang dimaksudkan adalah perbuatan yang melawan fitrah diri sendiri dan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan fitrah, tabiat dan sifat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya,” kata teks itu.
JAIS berkata, keadaan menjadi bertambah buruk apabila pengaruh media massa dan media elektronik yang semakin canggih tanpa sempadan, laman sosial pula dijadikan medium untuk mereka berkomunikasi dengan mudah dan bersatu di dalam mengumpulkan pengaruh dan merancang aktiviti bersama dengan mudah tanpa batasan.
“Apa yang lebih membimbangkan kita adalah golongan ini semakin aktif menubuhkan persatuan-persatuan dan menuntut hak-hak mereka di bawah undang-undang supaya mewajarkan tindakan mereka.
“Seterusnya mereka memperjuangkan hak yang sama tanpa halangan untuk menjalani kehidupan yang sama seperti orang lain, terutamanya hak kebebasan dan berkahwin. Ini bukan sesuatu yang mustahil boleh berlaku kerana di kebanyakan negara Barat, hak dan perlindungan yang dituntut oleh golongan ini mendapat perhatian dan akhirnya diperakui oleh undang-undang,” katanya.
Justeru, JAIS berkata, pendekatan dakwah yang tersusun dan berterusan perlu dilakukan bagi membendung gejala ini di peringkat awal lagi.
Ia mengingatkan bahawa masalah yang berlaku ini perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat dan golongan ini tidak boleh dibiarkan terus hanyut, leka dan alpa dalam pentas kehidupan yang mereka ciptakan.
“Mimbar hari ini juga mengharapkan peranan daripada ahli keluarga, masyarakat dan NGO untuk sama-sama memberikan bimbingan berterusan agar mereka melakukan perubahan ke arah kebaikan, dan juga membentuk satu program rawatan dan pemulihan bagi mengajak mereka kembali ke pangkal jalan.
“Apabila kita hidup dalam sebuah masyarakat, setiap orang mempunyai suatu peranan, tanggungjawab atau kewajipan terhadap masyarakat.
“Adalah tidak wajar sekiranya kita hanya mampu melihat golongan ini dari terus hanyut dan jauh dari rahmat Allah tanpa ada usaha untuk membantu mereka kembali ke arah jalan yang diredai oleh Allah SWT,” katanya.