Kita bantah penghijrahan orang China ke Malaysia bukan FDI industri: Tun Dr Mahathir
BANGI, 22 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Saya tidak membantah pelaburan langsung asing (FDI) dari China, tetapi saya membantah jenis FDI itu yang membawa orang Cina China untuk tinggal di Malaysia, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, FDI sekarang bukan mengenai pelaburan dalam industri pembuatan di Malaysia, sebaliknya ialah memiliki tanah di Malaysia, membina penempatan dan bandar dan dijual kepada rakyat di Tanah Besar China yang akan tinggal di Malaysia, yang jumlahnya berjuta-juta.
“Penghijrahan ini yang kita bantah. Jika projek itu dilaksanakan oleh orang India dan berjuta-juta orang India datang untuk tinggal di Malaysia, juga kita bantah.
“Atau orang Russia atau Eropah Timur mahu berhijrah secara besar-besaran ke Malaysia juga kita bantah. Dan jika orang Afrika atau Arab mahu membanjiri Malaysia, juga kita bantah,” tulisnya dalam blog beliau malam tadi.
Beliau berkata, bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu membina tembok bagi menghalang rakyat Mexico atau dari Amerika Selatan berpindah ke AS.
“Tetapi AS membenarkan syarikat automotif Jepun, Korea dan China membina kilang mereka di AS, untuk mengambil rakyat Amerika sebagai pekerja dan meminjam daripada bank Amerika.
“Adalah jelas perbezaan antara FDI dalam industri untuk mewujudkan pekerjaan kepada penduduk tempatan dengan kemasukan orang asing untuk menetap di AS dan begitu juga di negara-negara Eropah.
“Orang China dialu-alukan untuk melabur dalam industri di Malaysia. Tetapi, seperti mana kita tidak mengalu-alukan penghijrahan orang India, Pakistan, Eropah atau Afrika ke Malaysia, kita perlu mengambil pendirian yang sama terhadap orang China,” katanya.
Tun Dr Mahathir berkata, tiada siapa boleh menafikan bahawa pembangunan bandar-bandar seperti Forest City di Johor adalah untuk menampung orang Cina, terutama dari Tanah Besar China, yang telah membeli hartanah di situ.
“Di dalam dan di sekitar JB sahaja akan ada 1½ juta Cina dari luar. Bagaimana pula dengan pembangunan yang sedang berjalan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Kuantan, Pahang. Bagaimana pula perumahan yang akan dibina bagi pekerja dan jurutera apabila Landasan Keretapi Pantai Timur serta HSR hendak dilaksanakan.
“Najib bermegah menarik lebih daripada 140 bilion FDI dari China adalah mengenai menjual tanah utama Malaysia kepada Cina China. Jika dia ke India atau Afrika atau Eropah dan menjual tanah Malaysia kepada orang asing, saya tetap menganggapnya sebagai bukan FDI.
“Dan, saya rasa rakyat Malaysia juga akan berpendapat demikian,” katanya.
Tun Dr Mahathir berkata, sama ada ahli perniagaan Malaysia akan mengakuinya atau tidak, hakikatnya adalah orang asing akan mengambil sebahagian besar daripada perniagaan rakyat Malaysia.
“Mereka perlu berfikir mengenainya dan berhenti bercakap mengenai anti-Cina. Saya dan rakan-rakan dalam parti baharu tidak anti-Cina. kami bekerjasama dengan parti utama orang Cina. Cubaan untuk membuatkan orang Cina Malaysia menolak kami sebenarnya adaah cubaan menyokong sistem kleptokratik kerajaan Najib,” katanya.