OIC kutuk rancangan Trump pindah kedutaan AS ke Jerusalem
KUALA LUMPUR, 22 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Jerusalem.
Menteri-Menteri Luar OIC dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam selepas sidang di Kuala Lumpur berkata, OIC menolak sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keupayaan Arab Palestin untuk menuntut sebahagian daripada Jerusalem pada masa depan.
Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-45 menggantikan Barack Obama. Dalam kempennya sebelum ini, dia merancang memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Jerusalem, sekali gus dilihat sebagai mengiktiraf wilayah yang diduduki itu sebagai ibu negara Israel.
OIC juga menggesa semua negara untuk berhenti daripada melaksanakan apa-apa kegiatan yang boleh menggalakkan Israel meneruskan pendudukan haram dan penggabungan Timur Jerusalem, termasuk apa sahaja galakan, seperti pemindahan kedutaan masing-masing ke Jerusalem.
Kenyataan itu turut mengajak 57 negara anggotanya untuk mengambil langkah dan tindakan sesuai yang diperlukan dalam menangani isu itu.
Sebelum ini, amaran dikeluarkan bahawa tindakan memindahkan kedutaan AS ke Jerusalem yang diduduki, yang secara tidak langsung mengiktirafnya sebagai ibu kota Israel, akan mencetuskan ketegangan di Timur Tengah dan bakal menghapuskan saki-baki usaha damai.
Pemimpin Palestin juga kesal kerana Parlimen Israel mengumumkan Jerusalem atau Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka, sedangkan mereka menuntut menjadikan Jerusalem sebagai ibu negara Palestin.
Status bandar itu menjadi duri dalam daging konflik berpanjangan Palestin-Israel. Rejim Zionis menduduki Tebing Barat dan Jerusalem pada 1967, yang turut menempatkan Masjidil Aqsa.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 23 Disember lalu, meluluskan resolusi meminta rejim Tel Aviv menghentikan pembinaan penempatan baharu di wilayah Palestin.
Dalam temu bual dengan akhbar Israel, Arutz Sheza, semalam, Trump dikatakan tetap bertegas untuk memindahkan kedutaan AS ke Jerusalem. – Agensi
http://www.ismaweb.net/2017/01/dunia-mesti-bantah-rancangan-trump-pindah-kedutaan-ke-baitulmaqdis/