Ucapan menteri di Indonesia dihadkan tidak lebih dari tujuh minit
JAKARTA, 22 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – “Kita tidak harus bercakap banyak kerana ada banyak kerja yang harus dilakukan,” – itulah prinsip Presiden Joko Widodo yang sentiasa meringkaskan ucapannya dalam sebarang majlis mahupun ketika memberi sidang media.
Kini, prinsip yang sama harus diamalkan oleh semua pihak apabila kerajaan telah mengeluarkan arahan mengenakan had waktu untuk berucap dalam sesuatu majlis iaitu selama tujuh minit sahaja.
Media-media tempatan memetik, arahan presiden itu dikeluarkan secara rasmi melalui Surat Edaran Nombor B.750/Seskab/Polhukam/12/2016 yang menyebut para menteri hanya boleh berucap paling lama tujuh minit dan isi ucapannya hendaklah seperti memberi kuliah tujuh minit.
Setiausaha Kabinet, Pramono Anung dipetik sebagai berkata, Joko tidak suka ucapan yang meleret panjang dan setiap ucapan haruslah terus menyampaikan maksudnya sahaja.
“Selain itu, jika pada acara yang dihadiri oleh Presiden Joko Widodo, sebaiknya pemimpin lembaga atau menteri hanya melaporkan apa yang harus disampaikan saja, jangan bersyarah di hadapan presiden,” katanya.
Beliau berkata, surat edaran itu juga turut ditujukan kepada semua pemimpin dan ketua jabatan, Pejabat Peguam Negara, Panglima Tentera Nasional Indonesia dan Ketua Polis Republik Indonesia.
Pramono berkata dalam masa tujuh minit itu, mereka dikehendaki menyampaikan perkara pokok atau maksud sesuatu aktiviti yang dilaksanakan itu.
Menteri Koordinator Politik, Hukum, dan Keamanan Wiranto pula dipetik sebagai berkata, beliau sangat bersetuju dengan arahan itu kerana ucapan menteri dan ketua jabatan haruslah ringkas dan padat.
Katanya, jika sesuatu ucapan itu tidak mempunyai had masa, seseorang menteri mungkin akan berucap lebih panjang daripada presiden sehingga waktu majlis itu menjadi berjam-jam lamanya. — Bernama