Berita UtamaKomunitiUtama

Perginya Cikgu Ghani seorang dermawan Sungai Petani

Sikap pemurah Allahyarham jadi sumber inspirasi masyarakat

BANGI, 8 Rabiulakhir 1441H, Khamis – Allahyarham Abdul Ghani Haron atau lebih mesra disapa Cikgu Ghani, merupakan nama yang tidak asing dalam kalangan penduduk Sungai Petani, Kedah kerana sumbangan dan jasanya yang cukup besar kepada masyarakat tempatan.

Sifat dermawan membuatkan beliau cukup disenangi malah, menjadi sumber inspirasi kepada semua golongan masyarakat untuk sama-sama membantu orang-orang yang memerlukan. 

“Sesiapa yang pergi ke rumahnya pasti sedia maklum ada pakaian-pakaian terpakai yang banyak tersedia bagi orang-orang yang memerlukan. Di depan rumahnya juga ada air percuma. Siapa nak tadah air, tadahlah. Percuma sahaja. Tiada bayaran dikenakan. 

“Setiap saban minggu di rumahnya, akan ada agihan barang dapur seperti beras, minyak, gula dan sebagainya kepada orang yang memerlukan,” demikian tulis ZonKuliah menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Cikgu Ghani juga difahamkan menjadi antara individu yang pertama mencetuskan program membantu rakyat mengisi petrol percuma untuk motorsikal 150cc ke bawah. 

“Admin masih ingat ketika program itu mula-mula dibuat, penuh stesen minyak dengan penunggang motosikal di Tikam Batu,” katanya.

Bukan itu sahaja, bekas guru berkenaan juga dilihat sebagai individu hebat yang mudah untuk berurusan. 

“Tidak kedekut duit untuk membantu orang susah. Tidak sedikit anak kampung yang melanjutkan pelajaran ke menara gading yang dibantunya. 

“Cikgu Ghani pernah kata dalam temubualnya dengan ZonKuliah dahulu, kalau saya yang sakit ini pun boleh bantu orang, orang yang tak sakit lebih-lebih lagilah boleh bantu orang. Buat baik (tolong orang) ni sebenarnya di antara kita mahu dengan tak mahu saja.” katanya.

Cikgu Ghani dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim sejak bulan lalu, disebabkan jangkitan kuman pada tiub yang dipasang dekat tubuh untuk proses dialisis.

Pada 1 Disember iaitu Ahad lalu, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 63 tahun di sisi isteri, Che Su Desa dan dua anaknya dalam ambulans hospital.

Jenazah Cikgu Ghani telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Barakah, Tikam Baru.

“Sesungguhnya, Cikgu Ghani telah menjadi inspirasi kepada kita semua untuk sama-sama membantu orang-orang yang memerlukan. Kami menjadi saksi bahawasanya beliau semasa hidupnya terlalu banyak membantu orang yang fakir lagi memerlukan. 

“Ya Allah, kami mohon kepadaMu semoga roh Allahyarham Cikgu Ghani dirahmati dan ditempatkan di kalangan orang soleh lagi beriman,” katanya.

Dimaklumkan bahawa projek sedekah jariah yang diusahakan oleh arwah Cikgu Ghani akan diteruskan oleh waris beliau sebagai menunaikan amanah yang diberikan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker