Tarbiyyah

Mentarbiah anak-anak hanya dengan doa?

PKP beri peluang keemasan terbaik untuk ibu bapa refleksi diri

BUDAYA masyarakat moden hari ini dan desakan ekonomi yang mencengkam menyebabkan kedua-dua ibu bapa kebiasaannya bekerja sepenuh masa dan terpaksa menyerahkan tugas pendidikan dan pembangunan emosi anak-anak kepada para guru di sekolah, pembantu rumah dan lebih parah kepada kotak televisyen dan teknologi internet yang diberikan secara bebas tanpa kawalan

2. Pulang sahaja dari tempat kerja lewat petang atau pada waktu malam, kedua-dua ibu bapa telah pun kelesuan, begitu tertekan akibat bebanan kerja dan sibuk memikirkan perancangan kerja untuk keesokan harinya pula. Malah ada sebahagian ibu bapa yang turut membuat kerja-kerja sampingan untuk menambah pendapatan atau bergiat dalam aktiviti kelab atau persatuan kebajikan pada waktu malam. Persoalannya, bilakah masa berkualiti yang diperuntukkan untuk mendidik dan mentarbiah anak-anak di rumah?

3. Sedangkan setiap kali solat kita mengulangi doa yang dibacakan oleh Nabi Zakaria A.S yang bermaksud, “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”

4. Begitu juga dengan doa Nabi Ibrahim A.S yang kita ratibkan (terkadang tanpa memahami maksudnya) yang berbunyi, “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata kami melihatnya. Dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

5. Adakah anak-anak yang baik penyejuk mata, pemimpin orang bertaqwa, rajin solat dan muslim sejati akan dapat dilahirkan hanya dengan doa tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan?

6. Nabi Adam A.S berdakwah dan mentarbiah sendiri anak dan cucu keturunan Baginda sehingga lahir Nabi Seeth A.S, Nabi Idris A.S dan seterusnya Nabi Nuh A.S yang mewarisi kesolehan serta meneruskan tugas dakwah Baginda. Nabi Ibrahim A.S pula mendidik sendiri Nabi Ismail A.S dengan melakukan aktiviti bersama membersihkan dan mendirikan binaan Baitullah yang diperintahkan Allah SWT. Baginda juga turut mewariskan kesolehan kepada seorang lagi anak Baginda, Nabi Ishak A.S dan seterusnya Nabi Ya’akub A.S.

7. Pada saat penuh kritikal ketika Nabi Ya’akub di ambang sakaratul maut sekalipun, Baginda tetap menasihati anak-anak Baginda untuk terus menyembah Allah SWT. Kerasulan Baginda kemudiannya diwariskan kepada Nabi Yusuf A.S.

8. Begitulah juga halnya dengan Nabi Daud A.S yang menyantuni anaknya Nabi Sulaiman A.S sehingga menjadi pemimpin umat yang sangat hebat. Manakala Nabi Zakaria A.S pula membentuk Nabi Yahya A.S sebagai pembawa risalah yang disegani

9. PKP memberikan peluang keemasan terbaik untuk para ibu bapa melakukan refleksi diri dan pembaikan dalam aspek pendidikan anak-anak. Masa yang lebih lama di rumah sepatutnya digunakan semaksima mungkin untuk mentarbiah anak-anak melalui pelbagai aktiviti ibadah secara berjemaah, mengulangkaji pelajaran, melakukan aktiviti memasak, kraf dan fizikal secara bersama serta banyak lagi interaksi intim bagi mendidik dan membina kemahiran sosial dan kestabilan emosi mereka

10. Allah SWT mentakdirkan PKP supaya kita mendidik anak-anak kita dengan tangan kita sendiri secara ‘personalised’ dan penuh kesabaran. Kini adalah masa untuk berubah. Firman Allah SWT dalam Surah Tahrim, ayat 6 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.”

Tidak takutkah kita dengan api neraka?

Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Kluster Tarbiah ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker