‘Merekalah pengkhianat agama, bangsa’
Masa depan negara di tangan kita demi memelihara warisan silam
BUDAYA Melayu amat menitik beratkan adab sopan dalam masyarakatnya. Ini merupakan ciri penting yang membentuk sesebuah masyarakat untuk memiliki nilai peradaban yang tinggi.
Budaya inilah yang menjadi antara faktor penting kegemilangan empayar Melayu Melaka suatu ketika dahulu.
Meskipun bersilih ganti dijajah ratusan tahun oleh kuasa-kuasa imperial, masyarakat Melayu masih utuh memegang nilai budayanya yang disandarkan kepada Islam. Adab kesopanan itu diwarisi secara turun temurun dari generasi ke generasi seterusnya dengan baik.
Sehinggalah datangnya penjajahan Inggeris, di mana mereka mula menukar strategi untuk meruntuhkan tiang-tiang budaya yang kukuh ini. Mereka mula menghantar anak-anak Melayu ke Eropah untuk diasuh secara dekat oleh tangan-tangan penjajah.
Ini semua dilakukan kononnya atas nama menyambung pelajaran. Di sana, mereka diserapkan dengan budaya Inggeris yang sungguh jauh daripada resam ketimuran dan agama seperti berhibur, bermain judi, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, meminum arak. Cara fikir dan congak mereka juga sudang dipengaruhi secara kuat dalam kerangka fikir Inggeris yang menafikan pertimbangan agama dan bangsa.
Selepas suatu tempoh, anak-anak Melayu ini pulang semula ke tanah air dengan jati diri yang berbeza. Mereka sudah berjiwakan Inggeris meskipun raut muka dan tutur bahasanya adalah Melayu. Mereka menjadi orang penting sebagai pegawai tinggi kerajaan dan tokoh politik.
Mereka adalah harapan Inggeris untuk meneruskan urus tadbir negara dan politik dalam kerangka barat selepas British memberikan kemerdekaan kepada negara ini.
Siapakah mereka?
Mereka sangat benci kepada usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam sistem masyarakat di Malaysia terutama dalam pendidikan. Mereka tak suka kepada budaya solat jemaah di sekolah. Mereka fobia dengan sistem sekolah di Malaysia yang memberikan penekanan kepada pengetahuan Islam dan amalan-amalannya. Mereka membina persepsi umum kononnya Islam itu membawa kepada kemunduran. Mereka memandang rendah kepada Melayu dan apa sahaja yang berkait dengannya.
Mereka adalah pengkhianat agama dan bangsa.
Dalam isu mutakhir berkaitan Sugarbook, tiktok yang menghina guru, komen berkaitan pendidikan di Malaysia yang dikatakan terlalu Islamik; ini semua adalah dalam kerangka untuk menjadikan Malaysia dan masyarakatnya menerima cara hidup dengan acuan barat. Falsafah barat diagungkan sebagai bebas dan maju.
Sedangkan falsafah Barat itu muflis daripada sebarang panduan. Adakah budaya pelacuran itu tanda kemajuan? Adakah berjenaka dengan menghina seseorang itu satu tindakan bertamadun? Adakah pendidikan yang kosong daripada nilai-nilai Islam itu mampu menjadi asas kukuh kepada kekuatan negara untuk mendepani cabaran globalisasi?
Masa depan negara berada di tangan kita semua untuk memelihara warisan silam dan membina kekuatan baharu.
Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat
Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)