KITA selalu mendengar kata-kata perumpamaan, ikan busuk bermula dari kepala, bermaksud keburukan atau kerosakan atau cacat cela sesebuah negara (organisasi/keluarga) bermula daripada pemimpin tertinggi dahulu, kemudian barulah ke peringkat bawahan (rakyat).
Ada yang mengatakan bahawa perumpamaan ini berasal dari Rome, daripada seorang yang bernama Marcus Tullius Cicero atau singkatan Cicero. Cicero, orator ulung, negarawan, ahli falsafah, ahli politik dan undang-undang. Cicero hidup di Rome ketika zaman Romawi pada tahun 106-43 SM.
Ada yang mengatakan mungkin Cicero antara yang memulakan perumpamaan ini. Namun, kata-kata ini tidak mustahil ada dalam tamadun bangsa lain. Kalau berbeza pun dalam bentuk berlainan, seperti kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari dan sebagainya.
Dalam suasana zaman Cicero, Rome, perumpamaan ini dikutip dari ucapan para pedagang di pasar ikan Marcellum, Rome. Mereka mengatakan jika seekor ikan yang membusuk hingga ke ekor itu, bermula dari kepalanya.
Ketika pertemuan antara pemimpin (senator) dan rakyat yang sedang berkumpul di sebuah tempat awam di Rome. Cicero mengulangi kalimat ini. Ketika itu, penguasa Rome ketika itu terkenal dengan sifat korup dan gemar dengan hiburan dan segala kemaksiatan. Cicero tanpa rasa takut sentiasa mengingatkan.
Ketika ditanya apa yang boleh dilakukan untuk memberantas korupsi dan penyelewengan dalam negara. Dengan berani dan tanpa rasa takut Cicero berkata, “Potong kepalanya!”
Cicero menambah, “Kebusukan suatu negeri selalu bermula dari atas, dari pemimpin-pemimpinnya!” Semua orang terpegun dengan kata-kata Cicero. Berapa orang seperti Cicero ada pada hari ini? Berkata benar, walaupun berada di hadapan pemimpin (raja) yang zalim.
Dalam kata lain, ekor ikan tidak membusuk dahulu, ia bermula dari kepala ikan. Rakyat jarang ada yang korup. Jika ada pun rakyat yang terlibat, mereka sekadar hanya mengambil sedikit sekadar untuk menahan lapar.
Itu pun diperlakukan secara tidak adil oleh penguasa. Rakyat sebagai ikan bilis, jika bersalah sedikit terus dicampak ke dalam penjara. Sedangkan jerung yang korup dibiarkan bermaharajalela. Pemberi rasuah bebas, penerima rasuah meringkuk dalam penjara, tidak tentu pasal. Inilah yang sedang berlaku, bermaharajalela.
Ketika Cicero di Rome, korupsi menjadi tradisi dalam kalangan pembesar-pembesar dan pemimpin tertinggi negara dilakukan tanpa rasa malu walau sedikit pun. Wang rakyat dikebas, digunakan sewenang-wenang dan dibahagikan sesama mereka. Rakyat terus diperas dan ditindas. Pemimpin tertinggi negara terus berfoya-foya tenggelam dalam hiburan dan kemaksiatan. Rakyat terus melarat.
Mereka yang kaya hanya segelintir, kelas menengah yang bersusah payah berusaha, terpaksa bersekongkol dengan lingkaran elit politik, bagi meneruskan hidup.
Ironinya, yang terlebih kaya di negeri itu bukan anak negerinya sendiri atau pribumi tetapi adalah pendatang, yang telah puluhan tahun mendatangi negeri itu dan menjadikan pribumi sebagai hamba. Inilah juga yang sedang berlaku di negara kita. Pembesar-pembesar dan pemimpin politik, bukan pribumi senang lenang, rakyat terus menderita.
Kebelakangan ini, kita sebagai rakyat, dalam kalangan NGO-NGO, terpaksa berhempas pulas sana sini meraung akan kesusahan rakyat, mahukan rakyat dibela, sedangkan penguasa dan pembesar, berdiam diri. Sibuk berpolitik.
Rakyat laparkan beras, pemimpin politik sibuk dengan menjenamakan beras. Paling jelek memberikan jenama beras, seperti beras madani. Masalah masih tidak lagi selesai walaupun jenama madani diberikan. Apakah dengan memberikan jenama ini, selepas itu perut rakyat menjadi kenyang. Beras pun mahu dipolitikkan. Politik desperado apakah yang sedang kita perkatakan ini?
Dalam kata lain, pemimpin menjadi punca utama kepada semua kerosakan, bermula dari pembesarnya, dan pemimpin politik yang menguasai negara, negeri dan seterusnya.
Justeru, ingatlah wahai pemimpin tertinggi negaraku, kepemimpinan adalah suatu amanah. Amanah ini amat berat. Tidak semua orang sanggup memikulnya. Hari ini, kamu telah diamanahkan untuk memikulnya. Kamu menerima amanah itu. Maka, jagalah amanah dan jalankan dengan penuh ikhlas.
Jika tidak mampu untuk dipikul, silalah letak jawatan. Berikan kepada mereka yang lebih layak. Kehidupan kita tidak setakat berakhir di dunia, tetapi ada berlanjutan hingga ke alam kubur, mahsyar dan berdepan dengan mahkamah Allah Rabbul Jalil.
Kita tetap akan dipertanggungjawabkan setiap perbuatan semasa hidup. Lebih-lebih lagi amanah memerintah negara. Pemimpin tertinggi mesti menjadikan iman, takwa, ehsan, integriti, akauntabiliti dan ikhlas sebagai pasak, semata-mata mencari reda Allah, bagi menyelamatkan manusia daripada terjebak dengan kemungkaran dan kefasadan yang boleh mematikan hati.
Percayalah, apabila hati sudah mati, manusia mudah terpengaruh dengan perbuatan keji. Ini kerana mereka sudah jauh daripada cahaya Ilahi. Marilah kita buat muhasabah diri, sebelum terlambat. Paling membimbangkan dan menakutkan, kita tidak sempat bertaubat, apabila malaikat datang menjemput.
Solusi Cicero mudah sahaja, potong kepala ikan itu. Apakah sudah sampai masanya kita memotong kepala ikan itu, kerana ia tidak memberikan manfaat lagi? Jika kita terus biarkan kepala itu membusuk, dibimbangi, agama, bangsa dan negara akan hancur.
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah