Berita UtamaPendapat

Idea ‘childfree marriage’ bertentangan manhaj anbiya’

BENAR bukanlah suatu kewajipan untuk memiliki anak bahkan memilih untuk tidak memiliki anak juga bukanlah perkara yang dilarang dalam Islam.

Allah sendiri menyebutkan bahawa Dia mengurniakan anak berupa lelaki atau perempuan kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan menjadikan seseorang itu mandul mengikut kehendak-Nya. Tiada paksaan pada hal ini.

Namun, apabila kita menghayati al-Quran, akan kita dapati perasaan, keghairahan dan kesungguhan manusia-manusia yang terpilih (para nabi) dalam memiliki zuriat keturunan sebagai pewaris risalah dan menjadi saksi-saksi keesaan Allah di muka bumi ini.

Bacalah tentang Zakaria di kala di hujung umurnya dengan tulang yang semakin lemah dan rapuh, beruban penuh pada kepalanya, bersungguh-sungguh berdoa pada Rabbnya agar memiliki zuriat yang mewarisi nubuwwah dan risalah Islam.

”Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.”

Rasailah kesedihan Nabi Zakaria tatkala tidak memiliki zuriat yang akan mewarisinya dalam berdakwah di jalan Allah.

”Ya Allah, janganlah engkau tinggalkan aku sendirian (tanpa pewaris zuriat), sedang engkau adalah sebaik-baik pewaris.

Inilah cara fikir manusia-manusia pilihan Allah. Begitulah cara mereka berperasaan dan berkeinginan.

Datang hari ini golongan yang menyeru kepada perkahwinan tanpa tujuan memiliki zuriat atas tujuan mencapai Self-actualization. Demi Allah mereka menyeru kepada hawa nafsu dan menentang fitrah Insaniah yang mulia.

Maka, pelajarilah wahai manusia pandang alam para anbiya’. Demi Allah, tiada pada mereka kecacatan dalam berfikir, berperasaan dan bertindak. Cukuplah mereka sebagai contoh teladan dalam segala aspek kehidupan termasuklah dalam membina keluarga.

“Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya kitab suci, dan hikmah (ilmu pengetahuan), serta pangkat kenabian. Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan mengingkarinya.

Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.

(QS al-An’am : 89-90)

Ibrahim Allam Said
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Malaya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker