Sekolah vernakular perlu ada suntikan ‘ciri kebangsaan’
DLP punca polarisasi antara pelajar dua aliran bahasa pengantar

Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 20 Zulhijjah 1445H, Khamis – Dual Language Programme (DLP) tidak perlu diteruskan kerana menjadi punca wujudnya polarisasi antara pelajar dua aliran bahasa penghantar – bahasa Melayu dan Inggeris.
Polarisasi melalui sistem pendidikan perlu dielakkan untuk menghindari kesenjangan dalam kalangan pelajar, apatah lagi apabila wujud nilai seolah-olah pelajar yang beraliran bahasa Inggeris lebih bermutu.
DLP merupakan program yang memberikan pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran bidang Sains dan Matematik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ahli Dewan Negara, Senator Prof Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan berpendapat, jika mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, langkah perlu dibuat melalui mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri.
Ini terutama peningkatan sukatan pelajaran dan bahan ajar yang memenuhi keperluan penguasaan bahasa itu, kaedah pengajaran atau pedagogi yang berkesan dan jumlah guru bahasa Inggeris terlatih yang cukup, katanya.
“Seperti cadangan saya di Dewan Negara, sekolah vernakular (selagi wujud) perlu diberi suntikan ciri kebangsaan yang jelas.
“…khasnya dengan beransur-ansur menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar mata pelajaran lain,” katanya.
Setakat ini, beliau berkata, bahasa Melayu hanya menjadi satu mata pelajaran di sekolah vernakular, itu pun dengan buku teks yang berlainan.
“Untuk permulaan, jika tidak pun 100 peratus, perlu ada peratusan tertentu yang diwajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar selaras dengan usul Penyata Razak 1956.
“Barulah penguasaan bahasa Melayu pelajar lebih meningkat dan tiada kesenjangan penguasaan bahasa kebangsaan antara pelajar sekolah kebangsaan dengan pelajar vernakular.
“Dengan itu juga sekolah vernakular mempunyai citra atau imej kebangsaan berdasarkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar,” jelasnya.