Ancaman Israel tambah derita penduduk Palestin di ambang kebuluran
Arahan pemindahan babitkan kira-kira satu pertiga kawasan Gaza
NEW YORK, 26 Zulhijjah 1445H, Rabu – Ancaman Israel supaya penduduk Palestin berpindah dari kawasan Khan Younis dan Rafah makin menambahkan penderitaan mereka di ambang kebulurun.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, arahan pemindahan itu membabitkan kira-kira satu pertiga daripada kawasan Gaza.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, perintah keluar dari Khan Younis dan Rafah adalah ancaman terbesar di Semenanjung Gaza, sejak 1.1 juta orang diarahkan meninggalkan utara wilayah tersebut pada bulan Oktober.
Katanya, pemindahan dalam skala ini hanya akan menambah penderitaan orang awam dan meningkatkan keperluan kemanusiaan yang semakin terhad.
Terdahulu, rejim penjajah Israel mengancam penduduk di selatan Gaza berpindah sebelum melakukan serangan bom besar-besaran di wilayah terkepung itu.
Askar Israel mendakwa, serangan itu dilakukan bagi membalas serangan sayap bersenjata, Jihad Palestin
Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan, serangan balas Israel sejak Oktober sehingga kini telah mengorbankan hampir 38,000 orang dan telah menyebabkan wilayah pantai yang padat itu musnah.
Kebuluran semakin memuncak di utara Gaza. Kanak-kanak terpaksa berebut makanan, dan ada yang pulang dengan tangan kosong di kem pelarian Jabalia. – Agensi