Kerusi Stadium Shah Alam akan ditawar pada PBT, sekolah
Kerja perobohan stadium bermula semalam
SHAH ALAM, 26 Zulhijjah 1445H, Rabu – Pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan sekolah di Selangor akan ditawarkan sebilangan kerusi di Stadium Shah Alam yang masih boleh digunakan.
Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor berkata, kerusi
itu akan ditawarkan secara percuma dan sesuai untuk dipasang di stadium daerah atau astaka.
“Ada yang bertanyakan (ketika) kerja perobohan Stadium Shah Alam, apa jadi dengan kerusi di stadium itu? Kesemua kerusi itu akan ‘dismantle’ dan diasingkan mana yang rosak, akan dilupuskan.
“Manakala, kerusi elok akan disimpan di dalam tempat simpanan. Kerusi itu turut ditawarkan untuk dipasang di sekolah terutama yang mempunyai astaka di negeri ini,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan, hari ini.
Terdapat 86,000 kerusi di stadium itu dan kerja-kerja pembukaan bumbung dijalankan selepas semuanya selesai dibuka.
Kerja perobohan Stadium Shah Alam bermula semalam selepas syarikat pemaju menerima permit kelulusan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Kerja-kerja perobohan tersebut sekali gus menandakan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang mengandungi pelbagai kemudahan termasuk hotel dan pusat beli-belah bersambungan dengan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 di Seksyen 13.