Sekolah Agama Rakyat amat perlukan bantuan per kapita
Kos pengurusan pembangunan sekolah meningkat dari masa ke masa

KUALA LUMPUR, 26 Zulhijjah 1445H, Khamis – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad Yahaya menegaskan Sekolah Agama Rakyat (SAR) sangat memerlukan ‘bantuan per kapita’ seperti yang pernah diberikan suatu ketika dahulu.
Ini kerana, katanya, pihak pentadbiran SAR ketika ini menanggung peningkatan pelbagai kos dalam menguruskan sekolah.
“Apakah kerajaan bercadang untuk mengembalikan bantuan perkapita sebagaimana yang disebut tadi yang pernah diberikan sebelum (tahun) 2002 kepada pelajar-pelajar di SAR ini?
“Kita melihat kos pentadbiran, kos pengurusan dan juga pembangunan di sekolah meningkat dari masa ke masa,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa sama, beliau seperti dilapor Harakahdaily berkata, SAR telah banyak membantu meringankan beban kerajaan daripada sudut pembangunan dan pengurusan pentadbiran sekolah.
Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua SAR yang berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Katanya, kerajaan mengkhususkan RM1.9 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.
Justeru, dalam soalan asalnya, Ahmad Saad meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah SAR di bawah Jakim yang layak menerima geran bantuan berjumlah RM20,000 sebagaimana yang diumumkan.
Beliau juga meminta PM menyatakan mekanisme serta prasyarat permohonan geran bantuan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dalam jawapan kepada soalan tambahan itu berkata, terdapat beberapa penambahbaikan yang lain yang telah pun dilakukan ketika ini.
Antaranya peruntukan sebanyak RM150 juta bagi menyelenggara dan menaik taraf institusi pendidikan Islam.
Dr Zulkifli berkata, agihan pertama berjumlah RM50 juta telah disalurkan kepada institusi pendidikan Islam yang memohon melalui pemegang taruh negeri, di mana Jakim sedang menguruskan baki peruntukan sedia ada ketika ini.
“Merujuk kepada soalan Yang Berhormat sebentar tadi ianya sememangnya ada di dalam perancangan namun begitu ianya masih lagi berdasarkan kepada kekuatan dan juga peruntukan kewangan yang ada kepada pihak kerajaan,” katanya.