Berita UtamaUtama

Kontinjen negara sarung baju Melayu Rizman Ruzaini pada Majlis Perasmian Sukan Olimpik Paris

Reka bentuk akan ditunjuk kepada umum tidak lama lagi

KUALA LUMPUR, 27 Zulhijjah 1445H, Khamis – Kontinjen negara akan mengenakan pakaian berinspirasikan baju Melayu rekaan jenama fesyen Malaysia Rizman Ruzaini di Majlis Perasmian Sukan Olimpik Paris pada 26 Julai.

Ini disahkan Ketua Kontinjen Negara atau Chef de Mission (CDM) Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin yang berkata pakaian itu akan diumumkan kepada umum tidak lama lagi, lapor The Star.

“Ia akan bertemakan baju Melayu dan bercirikan tradisional.

“Kami telah memuktamadkan reka bentuk dan akan menunjukkannya kepada umum tidak lama lagi,” katanya semasa sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Duo fesyen Malaysia, Rizman Ruzaini, baru-baru ini menjadi tajuk utama apabila bintang antarabangsa Lady Gaga dilihat memakai rekaan gemerlapan rekaan kedua-dua pereka itu di sebuah pertunjukan di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Upacara perasmian dijadual diadakan di Sungai Seine dengan bot membawa para atlet bagi setiap delegasi negara.

Perarakan itu akan sampai ke penghujung laluannya sejauh enam kilometer di hadapan Trocadero, di mana unsur-unsur protokol Olimpik dan pertunjukan bakal berlangsung.

Kontinjen Malaysia setakat 1 Julai bakal dibarisi 25 atlet daripada lapan jenis sukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker