Penubuhan matrikulasi lindungi hak orang Melayu, Bumiputera
Kuota ditetapkan bukan diskriminasi, hak Melayu tak bercanggah Perlembagaan

BANGI, 27 Zulhijjah 1445H, Khamis – Matrikulasi ditubuhkan bagi memastikan orang Melayu dan Bumiputera mendapat persediaan dan sokongan yang mencukupi untuk melangkah masuk ke institusi pengajian tinggi awam di Malaysia.
Daripada aspek Perlembagaan, penubuhan matrikulasi dilindungi Perkara 153 yang membenarkan perizaban kuota bagi Melayu dan Bumiputera untuk masuk ke pengajian tinggi atau kolej.
Atas sebab itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib ar-Rumy Selamat berkata, semua pihak termasuk kerajaan perlu mendukung salah satu hak keistimewaan Melayu yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Bagi ISMA – sebagai gerakan Islam yang mempertahankan hak orang Melayu – mahu usaha meningkatkan keupayaan bangsa kita dan Bumiputera terutama di kawasan luar bandar dijadikan keutamaan dalam pelan pembangunan negara.
Ustaz Shuhaib berkata, hak dan kuota untuk orang Melayu dan Bumiputera bukan suatu ketidakadilan sosial tapi ia adalah manifestasi awal ketika penubuhan Malaysia dahulu.
Ini adalah untuk melindungi hak orang Melayu dan kaum Bumiputera sebagai bangsa asal di Tanah Melayu, katanya dalam kenyataan.
“Hak dan kepentingan semua kaum di Malaysia sudah pun dijamin dan terpelihara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Amat jauh sekali jika Perkara 153 ditafsirkan sebagai satu bentuk diskriminasi atau bercanggah dengan prinsip keadilan.
“Ini pun terbukti selama ini, tiada mana-mana kaum yang dinafikan hak mereka dalam menjalani kehidupan yang sejahtera di bumi bertuah ini,” katanya.
Terdahulu, isu matrikulasi menjadi perdebatan pelbagai pihak selepas kerajaan memutuskan semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya memperoleh keputusan 10A dan ke atas bakal diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan hasil perbincangan mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu itu bertujuan memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.
“Kalau ada anak-anak yang mencatat kejayaan 10A atau lebih untuk semua aliran sekolah di negara kita, maka keputusan kita tanpa kecuali semua mereka dari semua kaum dan wilayah harus diberi jaminan tempat oleh kerajaan.
“Saya tidak mahu meneruskan ini sebagai isu kaum lagi. Cuma saya tekankan keputusan ini keputusan yang berani,” katanya.