Peruntukan dari kerajaan bukan untuk Ahli Parlimen, tapi pembangunan kawasan
Kerajaan sedang muktamad perkara babit saluran peruntukan secara spesifik kepada MP pembangkang
SERDANG, 27 Zulhijjah 1445H, Khamis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan kepada Ahli Parlimen adalah untuk pembangunan infrastruktur dan sosial kawasan berkenaan, bukan diberikan secara khusus kepada wakil rakyat terbabit.
“Peruntukan (Ahli Parlimen) pembangkang sebenarnya, peruntukan ini adalah peruntukan Perdana Menteri (Kerajaan Persekutuan).
“Peruntukan sebenarnya adalah untuk kawasan Parlimen, ia tidak ada dikatakan spesifik untuk Ahli Parlimen. Ahli Parlimen peranannya adalah untuk koordinasikan (menyelaras) peruntukan itu,” katanya seperti dilapor BH.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih memuktamadkan perkara mengenai peruntukan khusus untuk Ahli Parlimen pembangkang menerusi Memorandum Persefahaman (MoU).
Mei lalu, Fadillah dilaporkan berkata, draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sedang dimuktamadkan, antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.
Sebaik sahaja draf itu siap, katanya, ia akan diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik kerajaan dan pembangkang untuk diluluskan.