Bapa Qawwam bukan saja urus kewangan, tapi pastikan rezeki dari sumber halal
Makan minum anak-anak bakal menjadi darah daging mereka
BANGI, 28 Zulhijjah 1445H, Jumaat – Tugas seorang bapa bukan hanya menguruskan kewangan untuk keluarga, tetapi juga memastikan ianya diberkati untuk dikongsikan bersama keluarga.
Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Sepang, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan berkata, bapa qawwam ialah bapa yang sentiasa memastikan rezeki dan nafkah yang disalurkan kepada anak-anak adalah dari sumber dan usaha yang halal dan diberkati.
Ini kerana, katanya, sumber rezeki ini digunakan untuk menyara kehidupan dan menyediakan makan minum anak-anak sehingga menjadi darah daging mereka.
“Keberkatan rezeki bapa qawwam termasuklah; memastikan pekerjaan yang halal dan patuh syariah, memastikan gaji yang diterima dan semua akaun simpanan ditempatkan di perbankan Islam dan bukannya bank konvensional.
“Memastikan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah akaun simpanan syariah dan bukan di simpanan konvensional.
“Membayar zakat termasuklah bayaran zakat fitrah, pendapatan, simpanan, Amanah Saham Berhad (ASB) dan KWSP sekiranya membuat pengeluaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya seorang bapa mengambil pakej perlindungan untuk keluarganya, maka ia perlu memastikan pakej tersebut adalah takaful dan bukannya insuran.
“Ini termasuklah perlindungan kesihatan, hayat, kenderaan, rumah, pembiayaan, musafir atau perjalanan.
“Sekiranya ingin mendapatkan kemudahan kredit, pastikan ianya pembiayaan dari perbankan Islam bukannya pinjaman dari bank atau syarikat kredit konvensional.
“Jika membuat pelaburan, pastikan pelaburan patuh syariah sama ada saham, unit amanah, emas, hartanah dan lain-lain. Pastikan urusan jual beli atau sewa tiada unsur riba (biasanya ada caj lewat bayar dengan kadar faedah tertentu),” katanya.
Pada masa sama, Ustaz Ibrahim juga berkata, seseorang bapa itu juga boleh menerapkan kelaziman berinfaq dan mengajar anak-anak untuk bersedekah.
“Jika ke surau atau masjid, berikan seringgit dua kepada anak untuk di masukkan ke tabung.
“Banyak tanggungjawab bapa qawwam dalam menguruskan kewangan rumahtangga. Ya, kita bukan hanya beli beras untuk keluarga tapi kita pastikan kewangan keluarga diberkati (bukan mencukupi kerana duit tak pernah cukup),” katanya.