Berita UtamaDuniaUtama

Calon pro-Palestin di UK menang mengejut kerusi Parlimen

Penyokong mahu undi parti pro gencatan senjata di Gaza

LONDON, 28 Zulhijjah 1445H, Jumaat – Calon bebas pro-Palestin, Ayoub Khan melakar kemenangan mengejut menentang Ahli Parlimen lama Parti Buruh, Khalid Mahmood dalam pilihan raya umum United Kingdom (UK) selepas memenangi kerusi Birmingham Perry Barr dengan majoriti tipis 507 undi.

Khan memperoleh 13,303 undi secara keseluruhan, menang dengan 35.5 peratus bahagian undi, manakala Mahmood, yang mewakili kawasan itu sejak 2001, menerima 12,796 undi, atau 34.1 peratus bahagian undi.

Khan, seorang ahli majlis tempatan dan peguam bela mengikut profesionnya, meletak jawatan daripada Liberal Demokrat pada Mei, mendakwa bahawa ‘mereka mahu menghalang beliau daripada bercakap mengenui Gaza’.

Berkempen mengenai isu-isu tempatan seperti kos sara hidup, jenayah dan pengangguran, serta perang berterusan Israel ke atas Gaza, beliau mendapat sokongan besar daripada kelompok pengundi Muslim di kawasan itu. 

Mahmood, pertama kali dipilih untuk Parti Buruh pada 2001, telah berulang kali memuji kelayakannya sebagai Ahli Parlimen dan pernah menyifatkan dirinya sebagai ‘Ahli Parlimen Islam paling senior dalam perkhidmatan.’

Bagaimanapun, pada minggu lalu, ahli politik veteran itu berdepan dengan kecaman di kalangan anggota masyarakat Islam kerana bertengkar dengan jemaah di sebuah masjid mengenai pendirian Buruh mengenai Gaza, dalam video yang dikongsi secara meluas di media sosial.

Selama beberapa bulan, undian di seluruh UK menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Buruh, terutamanya mengenai pendirian awal parti apabila ia menggesa ‘pemberhentian pertempuran yang berkekalan’ dan bukannya gencatan senjata yang menyeluruh.

Walaupun Mahmood menentang pemimpin Buruh, Keir Starmer pada November untuk mengundi gencatan senjata di Gaza, ramai yang berkata mereka berasa terdorong untuk mengundi calon dan parti yang tidak berbelah bahagi untuk menyokong gencatan senjata.

Peperangan Israel ke atas Gaza, kini menghampiri bulan kesepuluh, telah memusnahkan sebahagian besar wilayah yang dikepung dan memaksa hampir keseluruhan penduduk meninggalkan rumah mereka sekurang-kurangnya sekali.

Lebih 38,000 orang telah terbunuh, sebahagian besar daripada mereka adalah wanita dan kanak-kanak. Beribu-ribu lagi hilang atau dianggap mati di bawah runtuhan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker