Lebih sejuta penduduk di Timur Laut Bangladesh terkandas banjir
800,000 orang di Daerah Sylhet kini berdepan gelombang ketiga banjir

DHAKA, 28 Zulhijjah 1445H, Jumaat – Gelombang ketiga banjir dalam tempoh kurang sebulan telah menenggelamkan kawasan yang luas di bahagian timur laut Bangladesh.
Paras air di 90 stesen sungai yang dipantau Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (FFWC) negara Asia Selatan itu terus meningkat, hanya 19 stesen mencatatkan penurunan.
Setakat ini, lebih sejuta orang di Daerah Timur Laut Bangladesh termasuk Sylhet dan daerah berhampiran Sunamganj dan Moulvibazar terkandas akibat banjir yang meluas selepas beberapa hari hujan lebat.
Sheikh Russel Hasan, Pegawai Daerah dan Majistret Daerah di Sylhet berkata, gelombang banjir terbaru yang dicetuskan oleh hujan lebat telah menenggelamkan kawasan rendah di bahagian Wilayah Sylhet.
“Lebih kurang 800,000 orang di Daerah Sylhet kini berdepan dengan gelombang ketiga banjir,” katanya.
Beliau juga berkata, puluhan ribu orang telah kehilangan tempat tinggal di bahagian rendah timur laut negara itu.
Jurutera Eksekutif FFWC, Sardar Udoy Raihan meramalkan situasi banjir di Wilayah Sylhet akan berpanjangan kerana hampir seluruh negara mengalami hujan lebat berikutan monsun aktif.
Jutaan orang di Bangladesh yang kediaman mereka direntasi oleh ratusan sungai, menderita akibat banjir.
Ini kerana negara bertanah rendah ini mengalami banjir bermusim setiap tahun semasa monsun Jun-September apabila sungai-sungai yang mengalir ke Teluk Bengal melimpah. – Agensi