Berita UtamaUtama

Tak mampu bayar tunggakan yuran, ibu mahu berhenti hantar anak ke sekolah

Guru besar prihatin maklumkan pada Lembaga Zakat Selangor, bantu kembalikan murid ke sekolah

PETALING JAYA, 28 Zulhijjah 1445H, Jumaat – Atas desakan kehidupan, seorang ibu terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan persekolahan anaknya kerana tidak mampu lagi membayar tunggakan yuran.

Hasrat pilu itu dinyatakan ibu yang merupakan seorang asnaf fakir, kepada guru besar sekolah anak tersebut.

Bagaimanapun, guru besar yang bersikap prihatin telah memaklumkan perkara ini kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

“Hasil semakan, keluarga tersebut merupakan asnaf fakir yang berdaftar di Zakat Selangor. Beliau juga telah menerima bantuan keperluan sekolah, bantuan kewangan dan juga bantuan sewa rumah.

“Pihak Zakat Selangor serta guru besar telah menziarahi penama yang tinggal di Puchong. Hasil dari ziarah, kami mendapati bahawa ibu kepada anak ini tidak mampu membayar tunggakan yuran di sekolah yang banyak,” LZS dalam hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, setelah menerima nasihat dan menjalankan perbincangan bersama, LZS menyatakan bahawa pihaknya akan membantu untuk menyelesaikan tunggakan yuran murid tersebut.

“… dan ibu kepada anak ini boleh teruskan semula sesi persekolahan anaknya, Insya-Allah,” katanya.

LZS juga memaklumkan bahawa mereka telah turun padang menziarahi murid itu di sekolah sejurus dimaklumkan oleh guru besar bahawa dia telah hadir ke sekolah. 

“Jelas terpancar kegembiraan di muka anak ini apabila dapat hadir ke sekolah dan belajar semula bersama kawan-kawannya.

“Zakat Selangor mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengeluar zakat kerana membantu anak ini untuk bersekolah semula.

“Andalah hero asnaf. Tanpa anda anak-anak asnaf mungkin tidak ke sekolah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker