Berita UtamaUtama

Umat Islam wajib sokong RUU perkukuh takrifan ASWJ

Sudut akidah bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah

IPOH, 28 Zulhijjah 1445H, Jumaat – Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang sudut akidahnya bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah, wajar disokong semua umat Islam.

Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) berkata, RUU tersebut adalah bukti kesungguhan kerajaan memperkemas tadir urus hal ehwal Islam, terutama pada isu takrifan ASWJ.

Justeru, RUU itu wajib disokong demi menjamin kesejahteraan umat Islam negara ini. 

“JMNPk merujuk Perkara 4 yang mentakrifkan ASWJ dari sudut akidah bersumberkan aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiah. 

“Turut diberi penekanan kepada Fiqh Mazhab Syafie dan meraikan tiga mazhab yang lain serta perkara berkaitan ilmu tasawuf melalui Imam al-Ghazali dan Imam Junaid. 

“Ianya perlu diperkasakan demi menjamin kesejahteraan umat Islam di bumi yang bertuah ini. Maka, seluruh umat Islam khususnya, wajib memberikan sokongan kepada pelaksanaan (undang-undang) ini,” menurut jabatan itu dalam hantaran di Facebook.

Oktober tahun lalu, satu dokumen dinamakan ‘Deklarasi Ipoh’ yang mengandungi hasil Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah iaitu Sultan Perak, menyenaraikan beberapa fahaman bidaah lagi menyesatkan yang terkeluar daripada ASWJ. 

Antara fahaman bidaah disenaraikan adalah Syiah, Khawarij, Mujassimah, Mushabbihah, Muktazilah, Batiniyyah, Liberalisme, Pluralisme, Sekularisme, Wahabi, Salafiah Jihadiah, Daesh, Al-Ikhwan atau sebarang fahaman yang membawa kepada fenomena takfir dan keganasan. 

Pada Selasa lalu, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

Selain itu, dua lagi yang turut dibentang adalah RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker