Angka sebenar kematian di Gaza lebih tinggi berbanding laporan
Banyak kawasan musnah, mayat penduduk tertimbus di bawah runtuhan tak dapat direkod
GAZA, 3 Muharam 1446H, Selasa – Usaha pengumpulan data menjadi semakin sukar di Gaza disebabkan kemusnahan kebanyakan infrastruktur, menurut sebuah jurnal baharu yang diterbitkan dalam Lancet.
Pengarang ‘Mengira kematian di Gaza: sukar tetapi penting’ memaklumkan, Kementerian Kesihatan di Gaza kini terpaksa mengemas kini laporan kematian, berdasarkan jumlah orang yang meninggal dunia di hospital atau dibawa masuk, ditambah dengan maklumat daripada sumber media yang boleh dipercayai dan responden pertama.
Kesannya, angka kematian semasa di Gaza adalah lebih rendah daripada jumlah sebenar kerana banyak kawasan di Semenanjung Gaza sudah musnah, apabila orang ramai tertimbus di bawah runtuhan.
“Jumlah kematian dijangka besar memandangkan intensiti perang; memusnahkan infrastruktur penjagaan kesihatan; kekurangan makanan, air, dan tempat tinggal yang teruk.
“…ketidakupayaan penduduk untuk melarikan diri ke tempat yang selamat; dan kehilangan dana UNRWA, salah satu daripada segelintir pertubuhan kemanusiaan yang masih aktif di Semenanjung Gaza.”
Sekurang-kurangnya 38,153 rakyat Palestin terbunuh dan 87,828 cedera dalam serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober, menurut angka Kementerian Kesihatan.
Lebih 10,000 dianggap mati, terperangkap di bawah runtuhan.
Banyak mayat orang awam masih tidak dikenali selepas diratah oleh anjing, dilarikan oleh kereta kebal Israel atau dibiarkan reput oleh pasukan pendudukan sehingga mereka tidak dapat dikenali. – Agensi