KPM pertimbang sedia elaun untuk pelajar Tingkatan Enam
Buka peluang kepada lebih banyak peluang kerjaya, prospek untuk lepasan STPM

KUALA LUMPUR, 3 Muharam 1446H, Selasa – Demi menarik lebih ramai pelajar menyertai program Tingkatan Enam, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mempertimbangkan penyediaan elaun kos sara hidup untuk pelajarnya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM juga sedang mempertimbang elaun untuk guru penolong kanan Tingkatan Enam dan bantuan geran per kapita lebih tinggi bagi mata pelajaran Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM).
Beliau berkata, cadangan itu masih di peringkat permulaan, kerana Pelan Hala Tuju Pendidikan Tingkatan Enam 2024-2030 baru saja diputuskan pada Mei lalu.
“Kami akan teruskan untuk memastikan Tingkatan Enam menjadi pilihan utama anak kita,” katanya seperti dilapor BH.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan mengenai penjenamaan semula Tingkatan Enam, Kah Woh berkata, KPM memberi tumpuan kepada aspek kemudahan dan infrastruktur pusat Tingkatan Enam selain mempertingkat sukatan pelajaran peperiksaan STPM.
Di bawah rancangan itu, kementerian menyenaraikan tujuh objektif antaranya menjadikan Tingkatan Enam sebagai laluan utama dan pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran.
Selain itu, katanya, sistem pendidikan Tingkatan Enam dipertingkat agar lebih menarik dan setanding dengan sistem pendidikan prauniversiti yang lain.
Program Tingkatan Enam juga mampu meningkatkan kebolehpasaran lepasan STPM sama ada dalam dan luar negara; termasuk menyediakan lebih banyak peluang kerjaya dan prospek untuk lepasan STPM; memupuk sifat kepimpinan dalam diri pelajar Tingkatan Enam serta membangunkan profesionalisme guru Tingkatan.
“KPM sentiasa komited untuk memperkasa dan memartabatkan pendidikan Tingkatan Enam dari semasa ke semasa dengan mengambil kira semua aspek agar laluan ini kekal menjadi salah satu pilihan utama lepasan SPM bagi meneruskan pengajian sehingga ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.