Berita UtamaDuniaUtama

Netanyahu didakwa cuba sabotaj rundingan gencatan senjata

PM Israel pura-pura mahukan perjanjian, tetapi sedang berusaha hancurkannya

TEL AVIV, 3 Muharam 1446H, Selasa – Benjamin Netanyahu didakwa cuba mensabotaj rundingan gencatan senjata Gaza yang sedang berjalan dengan mengeluarkan satu set tuntutan baru yang ‘tidak boleh dirunding’.

Perdana Menteri negara haram Israel itu menerbitkan lima garis merahnya pada malam Ahad menjelang rundingan tidak langsung penting dengan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) melalui pengantara yang akan berlangsung di Doha akhir minggu ini.

Pemimpin pengganas itu berkata, sebarang perjanjian mesti membenarkan Israel kembali berperang sehingga semua ‘matlamat’ perang tercapai, yang mana sebahagian daripadanya dilihat tidak dapat dicapai oleh tentera Israel.

Netanyahu berkata, perjanjian itu juga sepatutnya menyatakan larangan menyeludup senjata ke Hamas melalui Mesir.

Tuntutan ketiganya ialah memastikan kepulangan ‘ribuan pejuang bersenjata’ di Gaza tidak dibenarkan.

Keempat, Netanyahu berkata, Israel akan ‘memaksimumkan jumlah tebusan hidup yang dipulangkan dari tahanan Hamas’.

Akhirnya, beliau berkata, garis besar yang dipersetujui oleh Israel untuk perjanjian dan disokong oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, adalah membenarkan pembebasan tawanan Israel tanpa ‘memudaratkan matlamat perang yang lain’.

Ahli politik Israel dan pegawai Israel bagaimanapun terkejut dengan pengumuman Netanyahu itu, menurut media Israel.

Penerbitan tuntutan keras itu, yang nampaknya senada dengan tawaran Israel sebelum ini, bertujuan untuk menangguhkan dan merosakkan peluang perjanjian yang akan diteruskan tidak lama lagi, kata sumber keselamatan tanpa mahu nama disiarkan kepada laman berita Israel Ynet.

“Tuntutan itu adalah kelakuan tidak wajar yang akan membahayakan peluang untuk memulangkan mangsa yang ditawan ke rumah,” kata sumber keselamatan kepada Ynet.

Seorang lagi pegawai keselamatan memberitahu Channel 12: “Netanyahu berpura-pura bahawa dia mahukan perjanjian, tetapi sedang berusaha untuk menghancurkannya.”

Syarat mengenai penyeludupan senjata yang didakwa melalui Mesir, yang bukan sebahagian daripada rundingan dengan Hamas, juga telah dikritik kerana menjejaskan hubungan dengan Kaherah, orang tengah utama dalam perbincangan dengan Hamas.

“Ia berbahaya kepada wacana yang dijalankan dengan Kaherah dan memberi kesan negatif kepada semua perbincangan,” kata sumber kepada Ynet.

Kenyataan Netanyahu juga dilaporkan telah menimbulkan kemarahan para pengantara, yang berkata, tuntutannya boleh menjejaskan kemajuan yang diperoleh dengan susah payah dalam perbincangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Israel dan Hamas telah terlibat dalam perbincangan tidak langsung sejak Januari untuk mencapai perjanjian yang menamatkan perang ke atas Gaza dan menukar tahanan.

Kedua-dua pihak telah berulang-alik bagi mencari persetujuan dalam cadangan tiga fasa untuk perjanjian yang dibentangkan oleh pengantara AS, Qatar dan Mesir.

Kebanyakan komponen perjanjian itu telah dimuktamadkan selepas berbulan-bulan rundingan. Bagaimanapun, butiran mengenai syarat gencatan senjata kekal dan pengunduran tentera Israel tidak dapat diselesaikan.

Sebelum ini, Pegawai Hamas mengalu-alukan pengumuman Biden tetapi kemudiannya menyatakan bahawa tuntutan Israel tidak menjamin berakhirnya perang.

Kumpulan pejuang Palestin itu dilaporkan telah bersetuju dengan kata-kata terbuka yang membenarkan perbincangan untuk gencatan senjata kekal berlaku, menurut laporan media.

Namun, kemajuan perbincangan gencatan senjata kini terancam kerana komen terbaharu Netanyahu, kata seorang pegawai kanan dari salah satu negara pengantara kepada Times of Israel.

Pegawai yang tidak dinamakan itu berkata, Perdana Menteri Israel cuba mensabotaj perjanjian itu.

Beliau berkata, tuntutan Netanyahu mengenai aspek paling sensitif dalam rundingan yang sedang berjalan, memudaratkan usaha untuk mengekalkan ketaksaan yang dicapai dalam tawaran terkini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker