Israel bunuh puluhan rakyat Palestin di kem perkhemahan Gaza
‘Cukuplah dengan kematian dan penghinaan, tamatkan perang sekarang’
GAZA, 4 Muharam 1446H, Rabu – Serangan udara Israel di Gaza membunuh berpuluh-puluh orang manakala kereta kebal tentera Israel di bandar Gaza juga telah memaksa penduduk untuk melarikan diri di bawah serangan tembakan, kata pegawai Palestin.
Pada hari Selasa, serangan udara melanda khemah keluarga yang dipindahkan di luar sebuah sekolah di bandar Abassan di timur Khan Younis selatan Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 29 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail al-Thawabta berkata, berpuluh-puluh yang lain terbunuh dalam serangan Israel yang lain di tengah Gaza.
Sekurang-kurangnya 60 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel pada hari Selasa, katanya.
Kereta kebal Israel dilaporkan menceroboh masuk ke kawasan kejiranan Tal al-Hawa, Shujayea dan Sabra di Bandar Gaza membedil jalan dan bangunan, memaksa mereka meninggalkan kediaman.
Ini diikuti dengan arahan tentera Israel untuk mengosongkan beberapa daerah di timur dan barat Bandar Gaza yang disiarkan di media sosial, termasuk kawasan kejiranan ini.
“Kami menganggap pendudukan dan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan terhadap orang awam,” kata al-Thawabta dalam satu kenyataan.
Di Bandar Gaza, sayap bersenjata Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan Jihad Islam berkata, pejuang mereka memerangi tentera Israel dengan senapang mesin, tembakan mortar dan peluru berpandu antikereta kebal, membunuh dan mencederakan tentera Israel.
Tentera Israel tidak mengulas mengenai kematian, tetapi mendakwa, tenteranya terlibat dalam pertempuran jarak dekat dengan pejuang Hamas.
Pertempuran sengit berlaku ketika Pengarah CIA, William Burns dan ketua Mossad Israel, David Barnea bersiap untuk ke Qatar pada hari Rabu, selepas Burns mengadakan perbincangan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi di Kaherah, berusaha untuk mendesak gencatan senjata di Gaza.
Video di media sosial menunjukkan orang ramai membawa kereta keldai dan di belakang trak yang ditimbun dengan tilam dan barang-barang lain melalui jalan-jalan di Gaza untuk melarikan diri dari kawasan di bawah arahan pemindahan Israel.
“Bandar Gaza sedang dihapuskan. Inilah yang sedang berlaku.
“Israel memaksa kami meninggalkan rumah di bawah serangan,” kata Um Tamer, ibu kepada tujuh anak, memberitahu Reuters melalui aplikasi perbualan.
Dia berkata, ini adalah kali ketujuh keluarganya melarikan diri dari rumah mereka di Bandar Gaza, di utara kawasan semenanjung yang merupakan salah satu sasaran pertama Israel pada permulaan perang pada Oktober.
“Kami tidak boleh tahan lagi, cukup dengan kematian dan penghinaan. Tamatkan perang sekarang,” katanya. – Agensi