Kerajaan Persekutuan wajar kaji semula undang-undang berkait larangan, pembatalan kedai judi
Islam perlu dijadikan induk utama dalam penggubalan undang-undang negara
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 4 Muharam 1446H, Rabu – Islam sebagai agama Persekutuan seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan mesti dilihat sebagai induk utama dalam membuat undang-undang di Malaysia.
Ini bermakna apa sahaja peraturan atau undang-undang sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri sewajarnya tidak bertentangan dengan kehendak dan tuntutan Islam, kata Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim.
“Apa makna Islam sebagai agama Persekutuan, jika ada peraturan dan undang-undang yang mampu cabar kesucian Islam itu sendiri secara langsung atau tidak,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang membenarkan semakan kehakiman terhadap tindakan kerajaan negeri yang tidak lagi meluluskan lesen judi.
Mahkamah memutuskan tindakan kerajaan negeri tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis perjudian adalah tidak berperlembagaan.
Mahkamah juga mengarahkan kerajaan Kedah, Menteri Besar, Majlis Bandaraya Alor Setar dan Datuk Bandar membayar pampasan kepada operator yang mengalami kerugian akibat keputusan itu.
Berdasarkan isu tersebut, Ustaz Zamani mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan membuat kajian semula dan menyediakan kertas untuk dibentangkan bagi menggubal bidang kuasa larangan atau pembatalan kedai judi.
“Saya berpendapat dan demi kepentingan umum yang lebih utama, tidak ada isu besar sebenarnya untuk meminda Perkara 74 dan 75 dalam Perlembagaan supaya menjaga kesucian serta kehendak Islam sebagai agama Persekutuan.
“…lebih-lebih lagi Perdana Menteri Malaysia sekarang adalah seorang yang sering bercakap bahawa Islam lebih terjamin di bawah kerajaan pimpinan beliau.
“Tindakan yang serupa juga perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri, melihat semula di mana kelemahan peraturan dan undang-undang di bawah bidang kerajaan negeri yang perlu dikemaskini atau dipinda. Usaha ini penting supaya perkara yang sama atau isu-isu yang lain dapat diatasi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, BERJASA mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah atas keberanian sejak sekian dahulu untuk memulakan tindakan menutup kedai judi.
“Ini sangat selari dengan kehendak dan tuntutan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Tindakan penutupan itu juga adalah untuk menunaikan maslahah ammah (kepentingan umum yang lebih utama),” katanya.